Skip to main content

Rencana

Jiwa kacau (3): Icardi tidak ketentuan

icardi-1.jpg
Awal minggu ini dilaporkan Real Madrid tidak akan bersaing dengan Manchester United untuk mendapatkan tandatangan Mauro Icardi musim panas ini hanya kerana tidak senang dengan isterinya.
 
Wanda Nara, yang turut bertindak selaku ejen suaminya, diketahui sangat lantang mengkritik Inter Milan yang diwakili Icardi, dengan mempersoalkan polisi perpindahan kelab Serie A itu di samping prestasinya di atas padang.
 
Nara menakutkan Real, seperti dilaporkan akhbar Marca, namun ia harus berita baik buat United yang dilaporkan berminat terhadap penyerang antarabangsa Argentina berusia 26 tahun itu dan dikhabarkan sudahpun mengadakan perbincangan awal.
 
Apatah lagi, jodoh Icardi dengan Inter kelihatan tidak akan berpanjangan kerana tidak bersetuju dengan terma-terma kontrak barunya.
 
Dia diura-urakan menuntut gaji £170,000 (RM905,000) seminggu, namun kelab I Nerazzurri (Hitam dan Biru) berkenaan belum bersedia menghulurkannya sebanyak itu.
 
Sejak itu, Icardi dilucutkan daripada tanggungjawab kapten di samping semakin kerap tersisih daripada kesebelasan utama.


 Wanda Nara, isteri merangkap ejen Icardi yang khabarnya digeruni dan tidak disenangi

Terbaru, pengurus, Luciano Spalletti, menghamburkan kekecewaannya kerana Icardi tidak turut serta dengan rakan sepasukan dalam bilik persalinan meraikan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Sampdoria, Ahad lalu.
 
Penyerang itu sekadar menjadi penonton di San Siro gara-gara kecederaan lutut yang turut mengetepikannya daripada beraksi dalam kemenangan 1-0 ke atas Rapid Vienna tiga hari sebelumnya.
 
“Saya menghargai kehadirannya di stadium tapi saya akan lebih menghargainya jika dia menyertai kami dalam bilik persalinan kerana kemenangan ini amat penting buat kami semua,” ujar pengurus itu.
 
Nara, bagaimanapun, menawarkan alasannya: “Sesetengah orang kata lilitan kapten tidak bermakna tapi buat Mauro, ia umpama mengambil sebelah kakinya, lebih daripada sebelah tangannya.
 
“Dia menyarung jersi (Inter) dengan penuh kebanggaan hingga jika terdapat pilihan di antara wang dan kecintaannya terhadap jersinya, dia akan sentiasa memilih jersi itu.”
 
Icardi, yang masih memiliki kontrak sehingga 2021, bagaimanapun, tidak dapat lari daripada hakikat Inter mengalami perubahan nasib yang lebih baik sepanjang ketiadaannya beraksi bersama mereka.
 
Skuad Nerazzurri itu menewaskan Rapid Vienna 4-0 untuk kemenangan agregat 5-0 dan menempah slot pusingan 16 Liga Europa – kemenangan keempat berturut-turut mereka yang tiga daripadanya tanpa Icardi.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Inter, Giuseppe Marotta, bertegas bahawa komitmen dan profesionalisme Icardi tidak pernah diragui sebagai membayangkan kontraknya akan diperbaharui Inter.

Dalam pada itu, ia adalah satu keputusan yang hanya Nara berhak memutuskan.
 

Advertisement

Must Watch Video