Skip to main content

Rencana

Idola Boy, Safiq Rahim

danial-amier-norhisham.jpg
Nama Danial Amier Norhisham pasti akan diingati oleh peminat bola sepak tanahair sebagai antara watak penting terhadap pencapaian membanggakan skuad bawah 23 tahun negara dalam Kejohanan AFC B-23 2018 di China.

Ia apabila ledakan gol bersejarah pemain berasal dari Keramat, Kuala Lumpur berusia 21 tahun itu dalam perlawanan menentang pasukan handalan asia, Arab Saudi membawa skuad negara layak ke suku akhir buat kali pertama sejak 2013.

Lebih manis, ia gol sulung pemain yang mesra disapa Boy itu di pentas antarabangsa sejak mula menganggotai skuad muda negara dalam kempen kelayakan AFC B-23 di Thailand, Julai tahun lalu.

Daripada kurang dikenali, Boy menjadi viral di media sosial sehinggakan klip video pemain itu bersama Frenz United, akademi yang mengetengahkan bakatnya di peringkat remaja turut dimuatnaik di media sosial oleh mungkin daripada kenalan lama.

Penulis secara peribadi kagum dengan pencapaian Boy memandangkan penulis juga antara orang yang terawal mengadakan wawancara bersama pemain ini iaitu tiga tahun lalu di Stadium Hang Tuah, Melaka di mana ketika itu dia mewakili Frenz United A untuk Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia ACT 2015.

Di situ penulis sudah dapat rasakan Boy mempunyai potensi besar untuk pergi lebih jauh berdasarkan kematangan dalam permainannya pada usia 18 tahun dan ternyata naluri penulis tepat berdasarkan pencapaiannya kini.

Boy bukan sahaja menjadi tonggak utama skuad muda negara kini, malah turut menjadi sandaran utama kelabnya Felda United bimbingan B. Satianathan, jurulatih yang membawanya ke skuad liga super The Fighters, musim lalu.

Itu serba sedikit mengenai perjalanan karier Boy dan sebelum pulang ke tanahair daripada tugasan AFC B-23, penulis ada bertanyakan kepada Boy iaitu soalan sama pernah penulis tanyakan sebelum ini mengenai idolanya.

"Sudah tentu Safiq Rahim. Walaupun dia ramai haters tetapi dia merupakan seorang pemain yang lengkap. Kemahiran mengawal bola, hantarannya dan idea di atas sangat bagus, jadi bagi saya Safiq contoh yang baik di atas padang", ujar Boy dengan spontan yang turut mengimpikan dapat beraksi dengan idolanya itu suatu hari nanti.
 

Advertisement

Must Watch Video