Skip to main content

Rencana

Gugup? Terlalu yakin?

malaysia-bawah-22.jpg
Ironinya aksi bola sepak Malaysia-Brunei hanya di anggap sebagai perlawanan pemanas badan baik melibatkan pasukan negara mahupun daripada pemain no 12 negara, Ultras Malaya yang khabarnya buat persediaan tersendiri untuk setiap perlawanan yang membabitkan Malaysia di Stadium Shah Alam.

Bukan Ultras Malaya yang mahu penulis fokus di sini, tetapi ke mana perginya semangat #kitasamahero yang jadi antara hashtag rasmi saingan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dalam aksi pertama Harimau Malaya kita.

Malaysia melewati gerakan yang cantik menerusi asakan pertama, yang sempurna disudahkan menerusi sepakan volley Safawi Rasid selepas menerima hantaran tepat Matthew Davies minit ke 4.

Penulis fikir Malaysia bakal berpesta gol di Shah Alam pada Isnin dengan jaringan pembukaan awal daripada barisan Datuk Ong Kim Swee ini sebagai gambaran Malaysia akan menyajikan aksi menarik dalam 41 minit babak pertama selepas itu.

Ternyata meleset sama sekali.

Asakan depan mata yang sekadar berlalu tanpa hasil ibarat serangan jantung buat penulis. Apa yang tak kena ? Penulis fikir lebih dari 11 peluang di hadapan mata yang gagal menepati sasaran ke gawang Brunei. Sakit pulak hati kita.

Rupanya bukan penulis sahaja yang berperasaan sedemikian.

Pengacara Astro Arena, Akbar Sahari & Hafizal Hamad juga meluahkan rasa yang sama selain dikuatkan dengan laporan separuh masa pertama yang berakhir dengan Malaysia 1 Brunei 1 di Stadium Shah Alam membabitkan Asmawi Bakiri.

'Geram' Itu luahan mereka. Sudah cukup untuk menggambarkan betapa Malaysia selayaknya menang besar melebihi jaringan 2-1.

Mujur tandukan Adam Nor Azlin di babak kedua sekurang-kurangnya menyelamatkan Malaysia dari terima malu di laman sendiri.

Betul yang penting menang, tetapi aksi pembukaan belum cukup kuat untuk menggambarkan taring sebenar skuad harapan ini.

Antara gugup atau terlalu yakin, itu hal pertama yang perlu diselesaikan segera, sekurang-kurangnya aksi kedua menentang musuh tradisi Singapura, Malaysia lebih tenang ledak peluang jaringan di hadapan gawang lawan.
 

Advertisement

Must Watch Video