Skip to main content

Rencana

De Gea kekal!

daviddegea.jpg
Sejak beberapa musim lalu, spekulasi mengaitkan David De Gea dengan pintu keluar daripada Manchester United semestinya menjadi perhatian umum.

Selain isu melibatkan mesin faks ketika United di bawah kendalian Louis Van Gaal pada 2015 yang menggagalkan perpindahan penjaga gol Sepanyol itu ke Real Madrid, dia juga dikaitkan dengan penghijrahan ke beberapa kelab besar Eropah.

Paris Saint-Germain (PSG) dan Juventus merupakan antara nama gergasi yang dikatakan berminat dengan khidmat De Gea, lebih-lebih lagi apabila aksi hebat dipamerkan penjaga gol muda United, Dean Henderson.

Henderson -  merupakan pemain daripada akademi The Red Devils dan kini dipinjamkan ke Sheffield United - mempamer aksi cemerlang sepanjang kempen 2019-2020 sehingga menarik perhatian pencabar Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

Kemampuan mengekalkan prestasi terbaik sepanjang dua musim bersama The Blades membuatkan Henderson yakin sudah bersedia untuk mencabar posisi utama di gawang United musim depan, seperti yang dilaporkan YorkshireLive, sekali gus membuatkan kedudukan De Gea tergugat.

Bagaimanapun, De Gea yang bakal memasuki usia 30 tahun pada November nanti bertekad untuk melangkaui tempoh 10 tahun di Old Trafford pada musim panas depan.

"Saya semakin berusia. Menjadi sebahagian daripada kelab ini semestinya sesuatu yang hebat. Saya harap dapat terus berada di sini lebih lama," kata bekas produk Atletico Madrid itu.

Antara faktor yang membuatkan De Gea untuk terus mempercayai proses perubahan United di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer dan kekal di Old Trafford adalah peningkatan ketara seluruh pasukan sebelum saingan musim ini ditangguhkan akibat Coronavirus.

Optimis pasukannya telah banyak meningkat dan kini mencapai prestasi terbaik, dia juga jelas gembira dengan kehadiran beberapa nama baru dalam pasukan bagi musim ini termasuk Bruno Fernandes, Januari lalu.

"Kami tidak lepaskan banyak gol dan semestinya Bruno menambahkan banyak kualiti."

Tidak mustahil, De Gea mampu berdiri sebaris nama legenda penjaga gol United sebelum ini seperti Peter Schmeichel dan Edwin Van Der Sar sekiranya terus menyarung jersi United dan meraih kejayaan di masa akan datang.

Advertisement

Must Watch Video