Skip to main content

Rencana

Bila Seladang naik angin..

perak-vs-pahang-240917.jpg
Pulang ke Ipoh pada 17 September lalu dengan ketinggalan dua gol, tiada siapa meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap Perak untuk melakar sesuatu dalam suku akhir kedua ke atas Pahang.

Di samping kehilangan dua tonggak utama, Hafiz Kamal dan Yashir Pinto, Perak terpaksa berjuang dalam keadaan serba tempang bagi laksanakan misi mustahil ke separuh akhir.

Kehadiran penyokong Perak pada semalam juga menceritakan mereka juga kurang keyakinan skuad The Boss Gaurus mampu bangkit memadam defisit dimiliki Pahang.

Bagaimanapun, sesiapa yang hadir menyaksikan perlawanan itu pasti berasa bertuah melihat salah satu aksi terbaik Perak setakat ini malahan ia adalah kebangkitan paling sempurna yang pernah ditonton penulis.

Percaturan jurulatih, Mehmet Durakovic, yang meletakkan Zaquan Adha di posisi penyerang tengah bersama Gilmar da Silva menjadi walaupun barisan tengah Perak dilihat sedikit ke arah lebih bertahan apabila Shahrul Saad digandingkan bersama Leandro Dos Santos.

Namun, Shahrul berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik iaitu bukan sekadar bertindak sebagai pelindung barisan pertahanan tetapi menjadi pencipta gerakan gol pertama Perak.

Gilmar yang ura-ura tidak akan diturunkan pada mulanya kerana hamstring, layak dinobat sebagai wira sebenar kerana dua gol pertama pasukan mengubah suasana perlawanan.

Nyata Durakovic ada magis tersendiri bila berbicara soal Piala Malaysia dan sama ada dia mampu membuat kejutan bertemu pasukan pilihan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam separuh akhir begitu menarik untuk disaksikan.

Kejayaan ke separuh akhir Piala Malaysia sememangnya cukup manis untuk penyokong Perak selepas sepuluh tahun tidak merasai peluang mara sejauh ini.

Satu perkara yang pasti dirindui oleh penyokong Perak ialah nikmat menjulang trofi Piala Malaysia selepas kali terakhir memenanginya pada tahun 2000.

Ironinya, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Ahmad Shahrul Azhar, merupakan ketua pasukan pada waktu itu dalam skuad yang ditunjangi V. Saravanan, Azrul Amri Burhan dan Khalid Jamlus.

Kini hanya selangkah lagi buat Perak mencipta jejak ke perlawanan akhir dan pertembungan dengan JDT yang turut menginginkan trofi Piala Malaysia pasti menjadikan pertemuan separuh akhir pasti sengit.

Advertisement

Must Watch Video