Skip to main content

Rencana

Biar putih tulang, jangan putih mata

b23.jpg
Sepanjang tujuh hari berada di China untuk membuat liputan Kejohanan AFC B-23, penulis jarang berkomunikasi dengan dunia luar terutama di media sosial.

Semuanya kerana masalah internet! Penulis dan rakan media lain kini berada di Changshu dan di sini talian internet tidak stabil. Ia memang menyukarkan kami menjalankan tugas kecuali berada di venue pertandingan.

Agak 'keras' juga penulis dibuatnya lagi-lagi cuaca sejuk dengan suhu antara 2 hingga 4 darjah celcius setiap hari! Pada masa lapang, penulis lebih banyak menghabiskan masa dengan mendengar lagu melalui iTunes sambil menulis berita.

'Biar Putih Tulang' dari kumpulan Dinamik antara lagu kegemaran penulis. Ia cukup bersesuaian dengan situasi skuad muda negara ketika ini di mana mereka berdepan dengan misi hidup mati dalam kejohanan berkenaan.

Tiada pilihan, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee perlu mencatat keputusan positif ke atas Jordan iaitu sekurang-kurangnya meraih keputusan seri kerana jika berlaku sebaliknya mungkin mereka boleh mengucapkan selamat tinggal.

Apa pun, skuad muda negara berdepan kesukaran untuk menewaskan lawan tetapi dalam bola sepak tiada perkara yang mustahil dan mereka perlu bangkit daripada aksi goyah dalam perlawanan pertama menentang Iraq rabu lalu menerusi corak permainan lebih menyakinkan tanpa melakukan kesilapan-kesilapan mudah yang akan mengundang padah.

Kekalahan 1-4 kepada Iraq selaku juara edisi pertama 2013 dan pemenang tempat ketiga pada 2016 perlu dijadikan iktibar dan pengajaran berguna kepada semua pemain negara agar mereka tampil lebih fokus berdepan Jordan.

Penulis tidak menafikan Iraq berada dalam kelas tersendiri, namun jika dilihat kepada persembahan pemain negara, tiada jurang perbezaan yang ketara di mana hanya kesilapan sendiri yang menjadi pemisah sebelum Malaysia ditimpa kekalahan besar.

Kini, pemain negara tidak boleh menoleh kebelakang lagi dan harus berhadapan dengan lawan seterusnya, Jordan dengan memastikan 'zero mistake' untuk mengelak keputusan sama berulang ketika mereka tampak tidak berdepan masalah besar dengan keadaan cuaca sejuk di sini.

Fokus, disiplin dan tenang, penulis percaya keputusan positif mampu dilakar dan apa yang lebih penting 'biar putih tulang, jangan putih mata' kerana lebih baik mati berjuang daripada menanggung malu kerana menyerah kalah. 

Good luck Malaysia!


Foto kredit: Facebook FAMalaysiaOfficial

Advertisement

Must Watch Video