Skip to main content

Rencana

Berangnya Ronaldo bawa perpisahan?

ron-(1).jpg
Tersebarnya pelan rahsia Real Madrid untuk menandatangani bintang Chelsea, Eden Hazard, nyata tidak disenangi oleh Cristiano Ronaldo yang mungkin memilih untuk angkat kaki – kali ini bukan lagi sebagai ugutan semata-mata.

Laporan akhbar-akhbar Sepanyol mendedahkan Real Madrid semakin terdesak untuk mendapatkan seorang Galactico yang baru gara-gara prestasi hambar mereka sepanjang separuh pertama musim LaLiga ini yang meninggalkan mereka 14 mata di belakang pendahulu, Barcelona.

Bukan lagi rahsia, presiden kelab, Florentino Perez dan pengurus, Zinedine Zidane, berminat mendatangkan penyerang antarabangsa Belgium itu dan tidak akan mengehadkan langkah mereka dalam memastikan perpindahan itu menjadi kenyataan.

Pada waktu yang sama, Hazard, yang memiliki kontrak bersama The Blues sehingga 2020, turut menangguhkan sebarang rundingan untuk melanjutkan kontraknya di Stamford Bridge dalam ternanti-nantikan tawaran yang dihajatinya daripada skuad Los Blancos itu.

Dan dengan segenap usaha tertumpu untuk menghamparkan permaidani merah menyambut kedatangan pemain berusia 26 tahun berkenaan ke ibu kota Sepanyol itu, malangnya bukan semua orang di Santiago Bernabeu yang akan mengalu-alukannya dengan tangan terbuka.

Sebuah penerbitan bola sepak Sepanyol, Diario Gol, mendakwa Ronaldo tidak menyenangi kedatangan Hazard kerana khuatir pemain itu akan menggantikannya menjadi “azimat” baru kelab itu.

Akhbar itu juga mendakwa Zidane dan Hazard saling berhubung menerusi telefon, dengan kedua-duanya dikatakan sudah menjalin hubungan rapat.

Ronaldo, kata Diario Gol, dikhabarkan berang dengan segala perancangan kelab yang dilakukan di belakangnya untuk menyisihkannya selaku tonggak utama kelab berkenaan.

Bukan juga menghairankan, Ronaldo, yang melihat Hazard selaku ancaman terbesar terhadap statusnya, lebih gemar jika Real Madrid menandatangani seorang pemain berprofil lebih rendah seperti Goncalo Guedes.

Guedes, yang ketika ini dipinjamkan Paris Saint-Germain (PSG) kepada Valencia, sebelum ini memang dikaitkan dengan ura-ura-ura berpindah ke Real.

Namun, kelihatannya Perez dan Zidane sedia memarakkan lagi api kemarahan Ronaldo dengan rancangan mereka untuk meneruskan usaha-usaha memikat Hazard.

Laporan dari London pula membayangkan sukar untuk Chelsea menolak andai Real Madrid tampil dengan bidaan £120 juta (RM658 juta) sepanjang tempoh jendela perpindahan bulan Januari 2018 ini.

Kebetulan bapa pemain itu, Thierry, sendiri mendedahkan bahawa Eden memang ternanti-nanti peluang untuk memperagakan skilnya di Bernabeu.

Akhbar UK, The Sun, mendakwa Real sudah bersiap sedia dengan bidaan £120 juta (RM658 juta) itu yang akan sangat berguna buat pengurus Chelsea, Antonio Conte, untuk memperkukuh kembali pasukannya dengan pembelian pemain-pemain baru.

Ia harus menyingkap satu lagi babak drama melingkari Ronaldo – yang sebelum permulaan musim ini bermati-matian mahu meninggalkan Madrid gara-gara menghadapi pertuduhan mengelak cukai oleh pihak berkuasa Sepanyol -- hanya untuk dia memilih kekal bersama pasukan juara Liga Juara-Juara itu.

Advertisement

Must Watch Video