RENCANA
Berakhir sudah kisah duka KL..
Banyak mata memandang kepada Terengganu dan Negeri Sembilan yang diletak selaku pasukan pilihan ke Liga Super musim ini.
Tidak banyak perhatian kepada Kuala Lumpur pada awalnya tambahan mereka bermula agak lembab apabila tewas tiga daripada lapan perlawanan awal Liga Perdana.
Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur(KLFA) juga berdepan masalah apabila tidak boleh daftarkan pengendali pada awal musim, Wanderley Junior kerana lesennya tidak diiktiraf Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM).
Iklan
Rupa-rupanya segala perkara itu berikan hikmah tersendiri apabila Kuala Lumpur terima kedatangan jurulatih yang mengubah segala perjalanan mereka iaitu Fabio Magrao.
Walaupun sesetengah exco KLFA meragui kredibiliti Magrao kerana kurang pengalaman, bekas pengendali Timor Leste buktikan segala persepsi itu meleset apabila dia membawa nama Kuala Lumpur daripada sekadar beri saingan kepada pencabar utama.
Secara perlahan-lahan, Kuala Lumpur yang pernah berada di tangga ketujuh suatu ketika memintas satu persatu pasukan termasuk JDT II, PKNP, Negeri Sembilan, UiTM, PDRM dan Terengganu malah rekod paling menakjubkan ialah mencatat kemenangan lapan kali berturut-turut di saingan Liga Perdana.
Penukaran pemain import Modibo Konte kepada Paulo Josue juga menjadi faktor kebangkitan Kuala Lumpur apabila tonggak dari Brazil itu banyak berperanan selaku perancang utama di bahagian tengah selain menjadi pengumpan utama Guiherme De Paula sehingga dia muncul penjaring terbanyak Liga Perdana setakat ini dengan 26 gol.
Kemenangan ke atas dua pencabar penting, Negeri Sembilan dan PKNP pada 10 Julai serta 4 Ogos lalu lengkapkan kebangkitan semula Kuala Lumpur di persada bola sepak tempatan.
Bagaimanapun, ada cerita paling penting mengenai kejayaan Kuala Lumpur kembali ke Liga Super iaitu ia ibarat penawar di sebalik kisah duka beberapa musim lalu.
Siapa tidak boleh lupakan skandal mengatur perlawanan babitkan pasukan Kuala Lumpur pada tahun 2013 yang menyaksikan lima pemain digantung seumur hidup manakala 17 pemain yang lain didenda sebanyak RM5,000 setiap seorang.
Walaupun perkara itu telah berakhir empat tahun yang lalu, masih ramai yang mengeluarkan kata-kata sinis kepada skuad warga kota apabila babitkan isu mengatur perlawanan.
Tidak nafikan memang sukar untuk hilangkan persepsi tersebut dalam masa terdekat walaupun semua pemain itu tidak lagi bersama Kuala Lumpur.
Namun, sekurang-kurangnya kejayaan Kuala Lumpur ke Liga Super secara merit serta kehadiran sulung mereka selepas lima tahun membuktikan pengurusan KLFA yang diterajui Datuk Seri Adnan Mohd. Ikhsan mahu menebus maruah pasukan itu yang tercemar sebelum ini.
Malah, usaha Kuala Lumpur yang percaya akan kemampuan pemain muda seperti Zhafri Yahya, Hafiz Mohd Johar, Irfan Zakaria, Hardee Samsuri dan Zaiful Abdul Hakim wajar dipuji tanpa mengharapkan pemain berstatus bintang semata-mata.
Beraksi di Stadium Cheras yang berwajah baharu pada musim depan, moga nama Kuala Lumpur akan terus kekal dalam peta bola sepak tanah air.
Must-Watch Video