Skip to main content

Rencana

Barca, Juve penyeri tirai pembukaan UCL

barca-juve.jpg
Saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2017/18 membuka tirai awal pagi esok dengan 16 pasukan dari Kumpulan A, B , C dan D akan beraksi untuk perlawanan pertama.

Antara pasukan yang menjadi tumpuan pada hari pertama adalah Chelsea, Bayern Munich, AS Roma, Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester United.

Bagaimanapun, perlawanan yang paling mencuri perhatian adalah pertemuan ulangan final musim 2014/15 di antara Barcelona dan juara Itali, Juventus.



Dua tahun lalu, skuad Bianconeri terlepas peluang untuk menamatkan badi gagal menjuarai UCL sejak 1996 apabila tewas 1-3 di tangan Barca di pentas akhir.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri itu sekali lagi kempunan pada musim lepas apabila dikecewakan oleh satu lagi wakil Sepanyol, Real Madrid, dalam final walaupun berjaya menyingkirkan Barca di peringkat suku akhir.

Diundi bersama Olympiakos dan Sporting Lisbon, pastinya dua gergasi dari Sepanyol dan Itali itu menjadi pilihan utama dari Kumpulan D untuk mara ke pusingan kedua.

Menghadapi saingan kali ini, satu perubahan besar di benteng Juve dapat dilihat selepas penghijrahan mengejut tonggak utama, Leonardo Bonucci, ke musuh tradisi, AC Milan, sekaligus menyaksikan gandingan baru barisan pertahanan di antara Giorgio Chiellini dan Daniele Rugani atau Mehdi Benatia.



Berbeza dengan Juve yang mengalami perubahan di bahagian bawah, skuad kendalian Ernesto Valverde pula berdepan tugas besar, perlu memastikan kombinasi baru di bahagian serangan mampu memberikan impak yang berkesan.

Kehadiran Ousmane Dembele dari Borussia Dortmund menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh bintang Brazil, Neymar, mencetuskan persoalan sama ada pemain muda Perancis itu dapat menggalas beban yang diberikan atau tidak.

Tatkala kemampuan Lionel Messi tidak perlu dipersoalkan, jentera tengah Barca sudah tentu mengharapkan sentuhan ajaib daripada Andres Iniesta dan Ivan Rakitic untuk merencanakan setiap pergerakan bahaya buat skuad Blaugrana.



Secara keseluruhan, pertemuan epik dua pasukan elit Eropah itu tidak banyak bezanya jika dibandingkan dengan pertemuan final 2015 ataupun suku akhir musim lalu.

Juve masih mempertaruhkan Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala di bahagian serangan sementara Messi dan Luis Suarez kekal menjadi penyumbang utama gol buat Barcelona.

Aksi di Nou Camp itu mungkin tampak seperti satu perlawanan biasa di antara dua kelab besar Eropah tetapi tetap akan menjadi topik perbualan utama bagi setiap peminat bola sepak pagi esok.

Akhirnya, selamat kembali UCL!

Advertisement

Must Watch Video