Skip to main content

Rencana

Bakal timbalan presiden FAM jangan tidur

fam-perlukan-transformasi-menyeluruh-kfa.jpg
Semua sudah maklum tentang pertembungan satu lawan satu di antara Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa bagi merebut jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). 

Ini merupakan pemilihan yang menarik sepanjang kongres yang berlangsung selama ini. Kedua-dua calon ini mempunyai kelebihan, kekuatan dan pengalaman masing-masing dalam urus tadbir sesebuah organisasi serta berjaya mengangkat martabat bola sepak di negeri masing-masing. 

Apa yang dihajati oleh peminat bola sepak tanah air ialah untuk melihat calon-calon yang mempunyai visi dan misi dalam bola sepak dan telah berjaya. 

Namun, pemilihan kali ini akan menguji kemampuan bakal presiden FAM dalam membentangkan rancangan dan rangka kerja dalam merubah penstrukturan dan pelaksanaan di dalam FAM untuk memastikan apa yang dirancang akan dapat merubah landskap bola sepak negara serta dapat mengangkat kembali kegemilangan bola sepak negara.

Tetapi apa yang menarik untuk kita lihat, siapakah calon-calon yang akan bersama-sama bakal presiden baharu untuk menggembleng tenaga dan membantu memberi idea-idea baharu dan pelaksanaan dalam menggapai perancangan yang telah dibuat oleh presiden. 

Kalau kita perhatikan setiap pencalonan jawatan timbalan presiden, terutamanya, adalah mereka yang sudah lama berada di dalam organisasi FAM serta diperingkat negeri.
Ada calon yang berjaya dan gagal dalam melaksanakan tugas masing-masing di tempat sendiri sebagaimana yang kita ketahui. 

Inilah masanya kebijaksanaan ahli-ahli gabungan untuk menilai sendiri siapa yang mampu membantu presiden baharu FAM itu nanti.

Apakah mereka yang terpilih untuk jawatan timbalan presiden itu nanti akan bekerjasama dan belajar daripada kesilapan lalu untuk merubah cara pemikiran yang lebih kreatif serta melaksanakan kerja dengan lebih cemerlang atau hanya tidur di dalam buaian sebagaimana sebelum ini. 

Inilah masanya untuk melihat bagaimana kerja berpasukan yang dapat dilakukan oleh mereka yang terpilih itu nanti kerana bola sepak memerlukan kesepakatan dan toleransi dalam memburu kejayaan selain dapat memantau petugas-petugas di dalam FAM menjalankan kerja-kerja mereka dengan baik. 
 

Advertisement

Must Watch Video