Skip to main content

Rencana

Badang Kuala Rompin

zzz-rompin3.jpg
Lama benar nama Kuala Rompin, Pahang tenggelam dalam arena sukan negara.

Selepas Faizal Baharom menggegar Sukan Komanwel 2006 dengan pingat emas kategori 56kg, nama Kuala Rompin terus menyepi.

Sebelum itu siapa tidak kenal badang Kuala Rompin.

Amirul Hamizan Ibrahim mengharumkan tempat yang jadi saksi peluhnya menitik pada setiap sesi latihan - dia rangkul tiga emas Sukan Komanwel 2002.

Sampai ada yang menyebut, jangan main-main dengan orang Kuala Rompin. Ramai orang gagah disana.

Namun selepas kejayaan Faizal, nama Kuala Rompin senyap seketika hingga muncul kelompok penyambung warisan, Muhammad Azroy Hazalwafie Ahmad Izhar.

Dia meneruskan legasi abang senior, Amirul dan Faizal apabila beraksi dalam kategori 56kg pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Penampilan sulung cukup sensasi apabila rangkul emas dengan memecahkan rekod temasya milik Amirul!

Dua hari kemudian seorang lagi badang Kuala Rompin, Mohd Fazrul Azri Mohdad menyumbang gangsa kategori 85kg.

Apa yang membuatkan atlit angkat berat Kuala Rompin berkualiti?

"Sampai sekarang saya terhutang budi dengan jurulatih pertama saya, Zainudin Joseps  yang mengajar teknik asas saya. Dia sangat tegas hingga ramai atlit mematuhi arahannya.

"Saya masih ingat ketika berusia 14 tahun, saya sanggup berulang alik dari rumah ke pusat latihan itu selama tiga bulan kerana mahukan sentuhan beliau.

"Saya kayuh basikal sejauh 14km tiap-tiap hari. Jurulatih tahu perkara ini dan bantu saya untuk tinggal di asrama bagi memudahkan sesi latihan. Sejak itu, saya tidak menoleh ke belakang lagi.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit di pusat latihan Kuala Rompin dan berharap lebih ramai lagi dapat dilahirkan untuk bantu skuad kebangsaan," kata Wafie.

Setahun kemudian, Fazrul turut mengambil langkah sama dan mereka sama-sama berjuang mengembalikan semula maruah Kuala Rompin.

Saya percaya, Kuala Rompin akan berpesta menyambut kepulangan wira mereka beberapa hari lagi. 

Selepas 20 tahun ditubuhkan, Pusat Latihan Angkat Berat Kuala Rompin terus relevan dan mengekalkan tradisi melahirkan badang gagah perkasa! 

Advertisement

Must Watch Video