Skip to main content

Rencana

Australia, Indonesia penentu Podium!

image1_6.jpeg
2018 tahun penting untuk Program Podium.

Ramai mahu melihat adakah program termahal dalam sejarah sukan negara berada di landasan tepat capai sasaran pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas membelanjakan RM75 juta.

Ujian sulung hadir menerusi Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, April depan.

Indeks Penilaian Prestasi (KPI) yang diumumkan sendiri Pengarah Program Podium Tim Newenham pada 2015 ialah Malaysia perlu menamatkan cabaran dalam kelompok 10 negara terbaik di Gold Coast.

Newenham dan pegawainya perlu memastikan Malaysia bangkit daripada malapetaka Glasgow, Scotland 2014 apabila sekadar raih enam emas untuk menghuni tangga ke-12 keseluruhan.

Berdasarkan prestasi 2017, sepatutnya kita mampu bangkit selepas atlit negara muncul juara dunia dalam lapan acara.

Bagaimanapun, hanya Azizulhasni Awang (basikal trek) dan Cheong Jun Hoong (terjun) akan bertanding di Gold Coast kerana acara lain tidak dipertandingkan.

Maka, boleh dikatakan dua emas hampir pasti dalam genggaman.

Saya ramalkan, 10 emas sudah memadai untuk menamatkan cabaran dalam kelompok 10 negara terbaik - menyamai pencapaian 1998 berbanding pencapaian terbaik 12 emas di New Delhi, India 2010.

Sepatutnya, Malaysia mampu mengatasi pencapaian di New Delhi, barulah kos berjuta ringgit itu berbaloi.

Mana mungkin pakar sains sukan terbaik dunia yang berkumpul di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil sejak 2015 hanya membantu atlit negara ke tahap yang pernah kita capai? 

Kemudian, Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Cabaran lebih besar kerana kita tidak pernah melepasi angka 10 emas.

Pencapaian terbaik, sembilan emas di Guangzhou, China 2010 dan cabaran sama menanti Program Podium.

Ini hanya sebahagian daripada perjalanan Program Podium mempersiapkan atlit negara untuk raih emas sulung di Tokyo 2020.

Setiap perjalanan bermula dengan langkah pertama.

Jika langkah pertama ini sumbang, maka kita boleh ramalkan apa akan berlaku di Tokyo.

Ingat, banyak wang rakyat sudah dibelanjakan. Mereka mahu titik peluh itu dibalas dengan kejayaan atlit negara.

Kita akan tunggu adakah lagu Negaraku akan kerap berkumandang di Australia dan Indonesia atau ia hanya janji manis Program Podium.

Selamat tahun baru 2018!

Advertisement

Must Watch Video