Skip to main content

Rencana

Apalah nasib kamu besar nanti nak...

image1_1.jpg
"Saya hanya tahu penglihatan saya semakin merosot pada usia 10 tahun, ketika itu di sekolah dan duit syiling saya jatuh ke lantai."

"Saya tercari-cari syiling yang jatuh itu dan berasa pelik kerana saya tidak dapat melihat di mana ia berada sehinggalah cikgu saya tolong kutip duit itu dan letak di tangan saya."

Itulah titik tolak bermulanya kehidupan kabur Hisham Khaironi, individu yang dikenali dengan karakter yang cukup tenang dan bersahaja ketika berbicara.

Puncanya adalah demam panas. Seminggu tanpa rawatan sepatutnya, Hisham terpaksa menjalani kehidupan yang kabur sehingga ke hari ini dalam tempoh 28 tahun.

"Mak saya suri rumah, ayah pun kerja biasa saja, tak apa lah ini bahagian saya, saya faham mereka (ibu bapa) juga perlu mengutamakan 11 orang adik-adik di bawah saya. Kami 13 beradik dan saya anak kedua."

Dimasukkan ke Sekolah Pendidikan Khas di Pulau Pinang, bakat Hisham dalam bidang sukan mula di hidu pada usia 15 tahun dan Sukan FESPIC 1992 merupakan penampilan pertamanya untuk mula mewakili negara.

Terngiang-ngiang kata-kata ayahnya, membuatkan Hisham lebih kuat untuk membuktikan kekurangan bukan penghalang untuk dia kejar cita-cita.

"Pada satu hari tu saya terdengar ayah cakap, apa lah nasib kamu besar nanti nak..."

Ayat itulah yang jadi pendorong dan sehingga ke usia 38 tahun, ia masih bergema dalam kotak fikiran Hisham.

"Saya tidak mahu mereka gusar fikirkan apa kesukaran yang bakal saya hadapi,untuk itu saya buktikan kepada mereka, walaupun kabur saya masih mampu mewakili negara, dan paling penting saya juga mampu miliki keluarga impian bersama isteri dan 5 orang anak."

Bermula sebagai atlit pecut 100 dan 200meter T12 ketika Sukan Para ASEAN Manila 2005, keputusan Hisham beralih ke sukan rejam lembing pada temasya Para ASEAN 2015 di Singapura jadi titik tolak kepada sumbangan emas di pentas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 apabila Hisham unggul dengan rejaman sejauh 49.98 meter.

"Dalam tempoh 10 tahun jarak masa itu, saya tetap memilih sukan kegemaran saya, dan berjaya sumbang emas bagi acara 100 dan 200 meter Sukan Para Asia Guangzhou 2010 namun masih belum ada pingat bagi merejam lembing di peringkat Para Asia selepas aksi di Incheon 2014 berakhir tanpa kutipan pingat."

"Dengan usia yang semakin lanjut saya perlu memikirkan persaraan tetapi saya belum puas selagi tiada sebarang pingat di raih dalam Sukan Para Asia bagi acara rejam lembing."

Semoga impian Hisham untuk sumbang pingat bagi acara rejam lembing di peringkat Para Asia berjaya dilunaskan apatah lagi ini peluang terakhirnya berbuat demikian kerana sasarannya untuk bersara dari dunia sukan bakal berlaku dalam tahun 2 dari sekarang.

Steady orang lama!

Advertisement

Must Watch Video