Skip to main content

Rencana

Apa sudah jadi, Coutinho?

cover-photo.jpg
Setahun lalu, nama Philippe Coutinho memberikan satu harapan buat Barcelona setelah melengkapkan perpindahannya dari Liverpool ke Camp Nou selepas beberapa bulan dikaitkan dengan kelab gergasi LaLiga itu.

Keinginan bintang Brazil itu untuk menyarung jersi Barca cukup jelas, lebih-lebih lagi selepas dia menghantar permohonan untuk meninggalkan Anfield pada Ogos 2017.

Penghijrahan ke Sepanyol akhirnya diselesaikan menerusi yuran berjumlah GBP105 juta (RM557 juta) pada 6 Januari 2018 dan pemain yang pernah berkelana bersama Inter Milan itu pantas menyinar menerusi catatan 15 gol hasil daripada 27 penampilan bagi semua kejohanan musim lalu.



Bagaimanapun, segalanya tampak berbeza bagi musim 2018-19.

Selepas melepasi separuh kempen, musim ini menyaksikan Coutinho lebih banyak ditenggelamkan oleh kelibat cemerlang pemain sayap muda Perancis, Ousmane Dembele, sehingga menyebabkan dia sekadar menyumbat lapan gol dan mencipta lima bantuan jaringan.

Situasi itu membuatkan pemain berusia 26 tahun itu mula dikaitkan dengan jalan keluar walaupun baru setahun berada di Sepanyol.

Apa yang terjadi sebenarnya?



Sewaktu Dembele mula tiba di Sepanyol, dia dikatakan bakal menjadi pilihan kedua kerana pemenang Piala Dunia 2018 itu sering dilibatkan dengan masalah disiplin tetapi dia membuktikan sangkaan itu meleset.

Dihantui masalah kecederaan musim lalu, Dembele memperlihatkan kemampuan sebenar bagi kempen 2018-19, menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan sehingga membuatkan pengendali Barca, Ernesto Valverde, melihatnya sebagai pilihan terbaik untuk berganding dengan  Lionel Messi dan Luis Suarez di barisan depan berbanding Coutinho.



Lebih memudahkan 'tugas' Dembele untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, Coutinho tampak gugup apabila diberikan peluang, seperti apa yang ditampilkan ketika aksi separuh akhir pertama Piala Raja Sepanyol menentang Real Madrid awal bulan lalu.

Jika posisi di jentera serangan seakan-akan semakin menjadi hak mutlak Dembele, mungkin Coutinho mampu memainkan peranan di bahagian tengah, mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan Andres Iniesta kerana Barca masih belum memiliki pengganti sebenar legenda Sepanyol itu.

Namun, bagaimana mungkin dia mengisi barisan tengah Barca tatkala ia sudahpun sarat dengan kehadiran Sergio Busquets, Arthur, Ivan Rakitic, Arturo Vidal dan Rafinha Alcantara.



Apakah penyelesaian buat Coutinho?

Pulang ke Anfield?

Mungkin aksi cemerlang Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane sudah membuatkan 'dosa' Coutinho meninggalkan Liverpool setahun lalu tidak boleh dimaafkan.

Advertisement

Must Watch Video