Skip to main content

Rencana

AJNA 2017 untuk Jun Hoong

cheong-jun-hoong_3.jpg
Tahniah untuk penerjun negara, Cheong Jun Hoong, apabila dinobatkan pemenang Anugerah Jagoan Nadi Arena 2017.

Bukan calang-calang atlet yang mampu berada dalam senarai 10 terbaik AJNA.

Senarai itu kemudian ditapis menjadi lima terbaik menerusi persaingan Jun Hoong, Azizulhasni Awang  (basikal trek), Shalin Zuklifli (boling tenpin), Muhammad Ziyad Zolkefli (olahraga para) dan Khairul Hafiz Jantan (olahraga).

Undian terbahagi kepada dua aspek iaitu 30 peratus menerusi undian peminat di laman sosial sementara baki 70 peratus daripada persatuan sukan kebangsaan dan pihak media.



Undian persatuan sukan kebangsaan dan pihak media menyaksikan Jun Hoong hanya memiliki sedikit kelebihan berbanding pencabar terdekat, Azizul.

Kelebihan utama Jun Hoong ialah undian peminat.

Ternyata, strategi memuatnaik beberapa promosi undian di laman Facebook, Instragram dan Twitter sendiri membuahkan hasil apabila Jun Hoong mengatasi pencabar terdekat dengan kelebihan sekitar 2,000 undian.

"Saya minta ahli keluarga, saudara-mara dan rakan untuk mengundi. Mereka yang banyak melakukan promosi kerana saya sibuk dengan sesi latihan.

"Saya tidak mempunyai kelab peminat tetapi saya fikir, ini masa yang sesuai untuk mewujudkannya," kata penerjun kelahiran Ipoh, Perak itu.

Saya setuju dengan Jun Hoong.

Sebagai juara dunia dan pemenang pingat Sukan Olimpik, dia sepatutnya mempunyai strategi untuk menjual jenama Jun Hoong sekurang-kurangnya di Malaysia.

Ia akan membantu atlet untuk mendapat penaja swasta, sesuai dengan saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang mahu melihat wajah wira-wira negara menghiasi papan iklan atau bangunan sebanyak mungkin.

Kami di Astro Arena akan cuba membantu mereka dengan pegangan untuk 'meraikan wira sukan negara'.

Ini bukan untuk Jun Hoong tetapi kepada semua atlet kebangsaan.

Tahniah untuk semua calon AJNA 2017.

Tahniah Jun Hoong, semoga raih kejayaan lebih besar untuk 2018!

Advertisement

Must Watch Video