Skip to main content

Rencana

Adam terus cemerlang

adam-norrodin.jpg
Banyak perkara menarik yang boleh dicoretkan untuk GP Austria minggu ini. Tumpuan utama sudah semestinya pelumba negara, Adam Norrodin yang beraksi dalam kelas Moto3 bersama pasukan SIC Racing Team.

Memulakan saingan di petak ke 15, Adam kian selesa dengan jentera dan keadaan litar Red Bull Spring di Spielberg untuk menamatkan saingan di tempat kelapan keseluruhan, meneruskan momentum kecemerlangan di GP Republik Czezh minggu lalu, yang menyaksikan Adam menghabiskan saingan di tangga kesembilan.

Ia satu perkembangan yang positif buat Adam untuk musim ini di Moto3, selepas musim lalu, pencapaian Adam seringkali dibandingkan dengan seorang lagi anak watan, Khairul Idham Pawi yang mencipta sensasi untuk Malaysia, menaiki podium dua kali di GP Argetina dan GP Jerman.

“Kami (Adam & SIC Racing Team) tahu kami boleh buat yang terbaik untuk perlumbaan kali ini, kerana kami ada kelajuan jadi daripada situ kami ada keyakinan, walaupun kami bermula dengan tidak baik, saya tetap dapat kejar kelompok hadapan “ 

 Tahun lalu di litar yang sama, Adam sekadar menamatkan saingan di tempat ke 23, selepas bermula di petak ke 25. Dia menghabiskan 23 pusingan di litar Red Bull Spring dengan catatan 37 minit 40.768 saat. Manakala untuk musim ini, dia turut memperbaiki catatan masanya kepada 37 minit 27.307 saat.

Turut membanggakan adalah Hafiz Syahrin yang beraksi dalam kelas moto2, bersama Petronas Raceline Malaysia, dia menamatkan perlumbaan di tempat ke 10. Memperbaiki kedudukannya ketika beraksi di Republik Czech minggu lalu apabila sekadar berada di tempat ke 15. Hafizh juga dalam posisi yang baik untuk mengejar kedudukan keseluruhan sepuluh terbaik dalam Moto2 apabila kini berada di tangga ke 12 dengan mengutip 50 mata.

Khairul juga tidak ketinggalan apabila menunjukkan keputusan positif. Meskipun dia menamatkan saingan di tempat ke 17, ia masih bagus buat Khairul yang kelihatan bergelut dengan persaingan di kelas ini selepas beralih dari kelas moto3. Minggu lalu di Republik Czech “Superkip” akhirnya memecahkan badi mengutip mata sulungnya dalam saingan ini.

Keputusan yang amat positif untuk setiap pelumba negara untuk terus mengutip mata memperbaiki kedudukan keseluruhan dalam kelas masing-masing tatkala saingan di MotoGP hanya berbaki 6 lagi pusingan. Selepas ini saingan akan bersambung di litar Bridgestone, United Kingdom pada 22 Ogos, dan apakah tiga wakil Malaysia ini akan meneruskan kecemerlangan mereka, sama-sama kita nantikan!

Advertisement

Must Watch Video