Skip to main content

Bola Sepak

Zidane: Tolong henti ejek Benzema

karim-benzema.jpg
Zinedine Zidane merayu kepada penyokong Real Madrid agar tidak mengejek Karim Benzema selepas penggempur itu mendapat sambutan dingin sekembalinya daripada kecederaan ketika mengalahkan Deportivo La Coruna 7-1, kelmarin. 

Benzema dimasukkan untuk menggantikan Borja Mayoral pada minit ke-64 selepas Madrid mendahului 3-1 -- penggempur Perancis itu membuat penampilan pertamanya sejak El Clasico pada 23 Disember lalu.

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu diberi sambutan bercampur-baur oleh penyokong di Santiago Bernabeu dengan siulan dan tepukan ketika dia memasuki padang.

Benzema bergelut untuk mendapatkan rentak terbaiknya musim ini apabila hanya meledak dua gol dalam 13 penampilan LaLiga, begitupun Zidane tidak fikir ada alasan untuk tidak menyokong pemain sendiri.

"Benar, sebulan yang lalu dia tidak beraksi," kata Zidane kepada pemberita dalam sidang akhbar menjelang pertemuan kedua suku akhir Copa del Rey dengan Leganes, awal pagi esok.

"Dia mahu segera kembali beraksi. Satu-satunya perkara yang digemarinya adalah berada di atas padang. Oleh itu, ia langkah yang baik untuk menurunkannya.

"Tetapi, tidak bagus melihatnya diejek sebaik pulih daripada kecederaan, ini pernah berlaku terhadapnya dan boleh berlaku kepada pemain lain juga.

"Apa yang kami perlukan daripada peminat ialah menyokong kami. Sudah tentu, mereka mempunyai hak, mereka boleh berbuat demikian kerana mereka yang berbelanja tetapi saya mahu peminat agar bersama kami selama 90 minit.

"Selepas permainan, itu bukan urusan kami lagi tetapi semasa perlawanan, saya mahu mereka bersama kami," katanya.

Zidane terus memberi perhatian kepada Ronaldo selepas dia meninggalkan padang pada Ahad lalu sambil melihat luka di mukanya melalui skrin telefon.

Lantaran itu, tindakan berkenaan mengundang kritikan kerana penyokong menganggap penampilan pemain di atas padang tidak penting, begitupun Zidane menegaskan dia hanya cuba melihat sejauh mana luka di bahagian itu.

"Dia hanya ingin mengetahui sedalam mana lukanya, itu sahaja," tambah Zidane.

"Saya hanya memberitahu anda apa yang dikatakannya di dalam bilik persalinan, saya tidak akan membuat spekulasi, saya tidak berada di sini untuk berbuat demikian.

"Luka itu memerlukan jahitan dan dia tetap turun berlatih dengan mata lebam. Ia membuktikan kemahuan Ronaldo untuk berada di atas padang," katanya lagi.

 

Advertisement

Must Watch Video