Skip to main content

Bola Sepak

Zidane rakam penghargaan kepada pemain Madrid

cristiano-ronaldo-cropped_jxtu7mxmo5mczarlb0cgo569.jpg
REAL MADRID 4 VALENCIA 1

Zinedine Zidane mengucapkan tahniah kepada pemain Real Madrid di atas prestasi mereka selepas melakar kemenangan 4-1 yang berharga di Valencia, awal pagi tadi.


Tekanan kepada jurulatih itu berkurangan di Mestalla ketika juara bertahan itu meraih kemenangan sukar yang membawa mereka merapatkan jurang dua mata di belakang skuad tempat ketiga, Valencia, yang bermain lebih satu perlawanan.

Dua sepakan penalti babak pertama daripada Cristiano Ronaldo meletakkan pelawat di laluan kemenangan pertama di gelanggang luar dalam LaLiga sejak Oktober lalu dan dan gol lewat daripada Marcelo dan Toni Kroos melengkapkan kemenangan selepas Santi Mina menghadiahkan satu gol buat skuad tuan rumah.

Zidane gembira dengan prestasi itu, terutama setelah disingkirkan Leganes dalam Copa del Rey minggu ini, dan menegaskan keputusan itu akan membantu skuad mendapatkan semula mentaliti kemenangan.

"Saya sangat gembira," katanya dalam sidang akhbar. "Kami perlu mengucapkan tahniah kepada pemain. Kami bermain hebat di padang dalam perlawanan yang bukan mudah tetapi kami terpaksa melakukannya.

"Kami sangat baik dan kami mendapat kemenangan, itu yang penting. Ada saat-saat sukar dan ia menunjukkan pemain mempunyai karakter.

"Dalam bola sepak, banyak perkara di dalam minda. Pemain tahu apa yang mereka lakukan, mereka tidak berputus asa.

"Kami mentafsirkan perlawanan ini dengan baik secara taktikal. Mereka adalah pesaing sebenar dan kami mempunyai satu perlawanan dalam tangan. Jika kami menang, kami akan berada di atas mereka.

"Pada babak kedua, Keylor (Navas) menyelamatkan kami untuk 15 atau 20 minit tetapi kami layak menang secara keseluruhan," katanya.

Zidane juga tidak memandang serius reaksi kecewa Karim Benzema yang digantikan pada babak kedua sambil menambah: "Semua pemain akan kecewa apabila mereka digantikan tetapi yang penting adalah keputusannya dan Karim gembira."

Penjaga gol, Navas, yang menyelamatkan percubaan berbahaya Dani Parejo ketika kedudukan 2-1, menegaskan Madrid tidak akan mengalah dalam LaLiga walaupun mereka berada 16 mata di belakang pendahulu, Barcelona.

"Kami bermain perlawanan yang hebat, yang merupakan perkara paling penting. Kami menderita beberapa ketika tetapi kami tidak kehilangan karakter dan kemudian gol (lewat) hadir," katanya.

"Pasukan kami bermain dengan baik dalam banyak perlawanan. Bukannya rahsia kami juga bermain sangat teruk, kami tahu. Apa yang kami perlu lakukan ialah mengekalkan konsistensi dan kami bertambah kuat dengan perlawanan seperti ini.

"Valencia adalah lawan yang hebat di laman mereka, di depan penyokong mereka dan mereka memberikan segala-galanya, jadi ia tidak mudah. Apabila kamu hadir ke tempat seperti itu dan fikir mereka tidak akan mencipta peluang, kamu silap.

"Kami tahu LaLiga sangat sukar tetapi kami akan memberikan segala-galanya. Kami tidak akan mensia-siakan apa-apa. Siapa yang fikir kami tidak akan berjuang dalam setiap perlawanan untuk menamatkan saingan setinggi mungkin, mereka benar-benar silap. Kami adalah Madrid."

Advertisement

Must Watch Video