REAL MADRID 3 NAPOLI 1
Zinedine Zidane memuji Karim Benzema dengan bertindak balas terhadap kritikannya dengan satu gol tepat pada masanya dalam kemenangan 3-1 Real Madrid ke atas Napoli, awal pagi tadi.
Pemain antarabangsa Perancis itu menamatkan kemarau gol dalam enam perlawanan dengan menanduk masuk hantaran lintang Dani Carvajal untuk memadamkan jaringan pendahuluan Lorenzo Insigne di Santiago Bernabeu.
Gol-gol selebihnya oleh Toni Kroos dan Casemiro mengukuhkan kemenangan Madrid yang memberikan mereka kelebihan besar menjelang perlawanan timbal balik pusingan 16, Liga Juara-Juara ini.
Zidane sebelum itu kecewa dengan gol pendahuluan pelawat menerusi Insigne selepas permulaan meyakinkan daripada pasukannya sendiri untuk mendapatkan penguasaan awal.
“Kadang-kala itulah bola sepak. Ia mengecewakan, dengan cara kami bermain dari awal, dengan intensiti yang tinggi, lawan yang menjaringkan gol pendahuluan,” kata Zidane.
“Tapi kesudahannya kami mendapatkan gol penyamaan dan kembali dalam saingan.
“Benzema menunjukkan dia memiliki personaliti dan ketika detik-detik kritikal, dia tahu bagaimana untuk menjawab dengan cara terbaik – dengan menjaringkan gol.
“Saya mengharapkan dia akan mendapatkan satu gol lagi kerana dia memiliki peluang. Apabila dia bergerak dengan cara itu, dia sentiasa menghadirkan bahaya.”
Zidane, bagaimanapun, mengingatkan pemain-pemainnya bahawa segala-galanya belum selesai, dengan Napoli mengetahui kemenangan 2-0 di San Paolo akan mencukupi untuk mereka mara.
“Ia masih 50-50,” katanya. “Ia akan menjadi perlawanan kedua yang menarik kerana mereka akan membuatnya sukar.
“Saya lebih suka jika kami tidak bolos. Ia satu keputusan yang baik tapi segala-galanya belum muktamad.”