Skip to main content

Bola Sepak

Yusri optimis Felcra bangkit dalam Liga FAM

140217yusrichelah.jpg

Pengendali Felcra FC, Yusri Che Lah, tetap gembira dengan persembahan pasukannya meskipun tewas 0-1 kepada Terengganu dalam pusingan kedua Piala FA di Kuala Terengganu malam tadi, dengan sasaran muncul juara Liga FAM dijadikan fokus utama mereka selepas ini.

“Walaupun mengalami kekalahan, kami memberikan tentangan sengit kepada Terengganu. Malah, saya berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan pemain-pemain.

“Beraksi menentang Terengganu tanpa kelibat pemain import membuatkan kami kehilangan 20 peratus kekuatan sebenar.

“Namun, pemain-pemain tetap yakin dalam menyusun pergerakan dan itu yang memuaskan hati saya.

“Saya berharap kami meneruskan rentak sebagaimana malam ini (semalam) kerana sasaran Felcra adalah menjuarai Liga FAM, seterusnya beraksi dalam Liga Perdana pada 2018,” ujar bekas pemain tengah kebangsaan itu.

Perlawanan malam tadi menyaksikan Terengganu bermula garang dengan Issey Farran Nakajima hampir menjaringkan gol pembukaan tetapi rembatannya pada minit pertama dan minit ke-10 gagal menemui sasaran.

Pertahanan Terengganu, Nasrullah Haniff Johan, terus menguji barisan pertahanan lawan tetapi tandukannya pada minit ke-29 ditepis penjaga gol Felcra, Muhd Syamin Othman.

Felcra, yang beraksi selaku tuan rumah, memperoleh peluang terbaik pada minit ke-35, malangnya menyaksikan percubaan menarik Nashrul Shazrin Roslan ditampan penjaga gol Terengganu, Amierul Hakimi Awang.

Bersambung babak kedua, kubu Felcra akhirnya bocor pada minit ke-55 selepas Abdul Latiff Suhami menghukum kegagalan Muhd Syamin mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya dengan sepakan leret menewaskan penjaga gol Felcra itu.

Terengganu terus mengasak mencari gol kedua, namun peluang yang diperoleh Issey (m-66), Mohd Faiz Mohd Nasir (m-70) dan Amirul Syahmi Ashari (m-86) tidak membuahkan hasil.

Kemengan tipis itu memadai buat ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, membawa pasukannya ke pusingan ketiga meskipun mengakui terdapat kelemahan dalam pasukannya.

“Saya sudah menjangkakan saingan sengit dari Felcra kerana sebagai pasukan bukan pilihan, mereka beraksi dengan bersungguh-sungguh.

“Apa yang penting, kami layak ke pusingan seterusnya namun tidak dinafikan masih ada aspek yang perlu diperbaiki kerana pemain-pemain seolah-olah tidak berani mengawal bola, terutama pada babak pertama,” kata Irfan.

Advertisement

Must Watch Video