Skip to main content

Bola Sepak

Woodland jadi buruan terakhir Kuala Lumpur

woodland.jpg
Pertahanan skuad kebangsaan Filipina, Luke Woodland, berada dalam radar Kuala Lumpur bagi menggantikan tempat Achmad Jufrianto yang sudah meleraikan ikatan bersama pasukan itu baru-baru ini.

Achmad melakukan penamatan kontrak dengan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khamis lalu, menerusi persetujuan bersama ekoran isu kecederaan panjang yang melanda pertahanan dari Indonesia itu tatkala dia masih mempunyai baki kontrak setahun bersama skuad Warga Kota.

Kuala Lumpur jelas pincang tanpa kudrat import di benteng akhir selepas tewas 1-3 menentang Pahang dan dibelasah juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), 1-4.

Bagaimanapun, KLFA sudah mempunyai calon pengganti dan difahamkan pemain tersebut ialah Woodland yang beraksi bersama Filipina dalam saingan Piala Asia 2019.

"Kalau kami cari betul-betul daripada Filipina, saya rasa tidak nampak. Cuma dalam pencarian baru-baru ini, ada seorang pemain yang beraksi dalam Piala Asia. Kami cuba dan kalau dia setuju, baguslah kerana kami hanya ada tempoh tiga hari saja lagi," kata Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa.

Woodland dijangka tiba di Kuala Lumpur Isnin depan untuk melengkapkan perpindahan sebelum jendela kemasukan pemain pertama Liga Malaysia ditutup 20 Februari depan.

"Dia kena hadir ke Malaysia dan kami perlu bawanya menjalani ujian perubatan untuk melihat tahap kecergasannya. Sebelum ini ada pemain yang ada sejarah kecederaan dan pulih ketika ditandatangani. Namun, selepas itu terus ada masalah."

Advertisement

Must Watch Video