Skip to main content

Bola Sepak

Wenger enggan label Sanchez sebagai askar upahan

alexis-sanchez_4.jpg
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, berkata Alexis Sanchez tidak sepatutnya dianggap sebagai "askar upahan" kerana memilih menyertai Manchester United berbanding memperbaharui kontraknya di Stadium Emirates.

Sanchez berpindah ke Old Trafford semalam menerusi pertukaran pemain dengan Henrikh Mkhitaryan.

Pemain Chile berkenaan dilaporkan memperoleh pendapatan sebanyak £350,000 (RM1.9 juta) seminggu di Old Trafford, jauh melebihi bekas rakan sepasukannya di Arsenal yang ditinggalkan setelah kontraknya bersama The Gunners memasuki enam bulan terakhir.

Wenger pernah mencadangkan bahawa Sanchez berpindah kerana wang di sebalik keinginan tingginya untuk mengekalkan anak buahnya itu sambil mendakwa "tidak dapat memahami" mengapa pemain berusia 29 tahun itu mahu meninggalkan Arsenal.

Bagaimanapun, pegurus Perancis itu tampil dengan pandangan berbeza ketika bercakap dengan media semalam menjelang saingan separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) di laman sendiri bertemu Chelsea, awal pagi esok. 

"Sudah tentu aspek kewangan penting tetapi dia boleh menggabungkan kedua-duanya (dengan menyertai United)," kata Wenger.

"Dia menyertai sebuah kelab hebat dan dia mendapat kontrak hebat, jadi anda boleh memahami bahawa pemain profesional boleh menggabungkan kedua-dua aspek itu. 

"Saya mahu bertanya kepada anda, apa perbezaan di antara seorang pemain profesional dan seorang tentera upahan? Saya tidak akan menganggapnya sebagai tentera upahan.

"Bagi saya, tidak ada masalah dengan wang yang anda laburkan. Apa yang penting ialah apa yang anda lakukan sebaik sahaja anda menandatangani seseorang pemain. 

"Jika esok saya mendapatkan pemain baru dengan harga £1, tanggungjawab saya tetap sama jika saya mendapatkan pemain yang bernilai £100j, saya akan memberikan yang terbaik apabila saya menandatangani kontrak dan tidak menghiraukan apa orang lain akan lakukan."

Mkhitaryan yang kurang dipedulikan di Old Trafford berpeluang memulihkan kariernya yang pernah berkembang pesat di Bundesliga bersama Borussia Dortmund.

Sehubungan itu, Wenger mengesahkan bahawa Arsenal pernah cuba mendapatkan Mkhitaryan sebelum dia beralih ke Manchester United pada 2016.

"Saya bertemu dengannya dan kami hampir memuktamadkan perjanjian tetapi pada akhirnya, ia tidak menjadi kenyataan," kata Wenger lagi. 

"Anda bimbang kerana dia kurang berkesan di United, namun ini adalah peluang baru untuknya. Dengan kualiti yang ada padanya, saya pasti dia akan merebut peluang ini. 

"Saya mungkin perlu menganalisis gaya permainannya di United dan kemudian menentukan apa yang boleh kami boleh lakukan, bagaimana kami boleh membantunya.

"Secara peribadi, saya melihatnya memainkan peranan di bahagian sayap tetapi saya fikir dia juga mampu beraksi di bahagian tengah sebagai peranan nombor 10 atau mungkin posisi yang lebih ke dalam," ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video