Ketua Pegawai Eksekutif Borussia Dortmund, Hans-Joachim Watzke, telah menerima ugutan bunuh selepas pasukannya menewaskan RB Leipzig 1-0 dalam pertembungan Bundesliga, 4 Februari lalu.
Selepas penyokong Dortmund mempamerkan kain rentang berunsur negatif dalam perlawanan itu, Dortmund telah didenda €100,000 dan telah diarahkan untuk menutup tempat duduk utara stadium, yang dikenali sebagai The Yellow Wall dalam kemenangan 3-0 ke atas Wolfsburg, semalam.
Watzke berkata dia dan ahli keluarga telah diugut oleh penyokong Leipzig selepas melakar kemenangan hasil jaringan tunggal Pierre-Emerick Aubameyang.
"Jika boleh, saya mahu dedahkan kesemua ugutan yang saya terima dalam tempoh 14 hari ini," ujar Watzke.
"'Kami akan mengantung kamu', 'apabila kamu melalui timur Jerman, kami akan pastikan kamu tidak akan sampai walaupun ke Saxony'.
"Saya tidak kisah dengan ugutan ini kerana ia perkara biasa tetapi ia memberi tekanan kepada ahli keluarga saya."
Watzke sebelum ini mendakwa RB Leipzig ditubuhkan kerana mahu menjual minuman tin tetapi dia menafikan melakukan sebarang provokasi terhadap penyokong lawan sehingga berlakunya insiden tidak diingini di Signal Iduna Park.
"Di Jerman, sangat penting untuk mengakui kesalahan kamu tetapi saya tidak akan melakukannya kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan.
"Saya bencikan keganasan. Saya tidak ada melancarkan sebarang kata-kata negatif terhadap mereka," tambahnya.