Skip to main content

Bola Sepak

Vardy kecewa dengan kekalahan minit-minit akhir

jamievardy-cropped_1b4ic0hhj4qle1vab53srsskeg.jpg
Jamie Vardy kecewa apabila dua golnya gagal membantu Leicester City melakar kemenangan ke atas Arsenal apabila tewas 4-3 dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Arsenal berada di depan menerusi gol penyerang baru, Alexandre Lacazette, seawal minit kedua perlawanan sebelum Shinji Okazaki menyamakan kedudukan.

Leicester kemudian di depan menerusi gol pertama Vardy sebelum Danny Welbeck kembali menyamakan kedudukan di hujung babak pertama.

Meskipun Vardy kembali menghukum gawang Arsenal dengan gol kedua peribadinya musim ini, gol Aaron Ramsey dan Olivier Giroud dalam tempoh tujuh minit terakhir perlawanan mengesahkan kutipan tiga mata buat skuad kendalian Arsene Wenger.

Ini adalah kekalahan ketiga hasil daripada gol lewat di Utara London buat Leicester setakat ini.

"Gol pada hujung permainan menghantui kami buat kali ketiga di sini," Vardy memberitahu Sky Sports.

"Kami menguasai permainan tetapi sedikit kelalaian menghukum kami di hujung perlawanan.

"Kami mendapat beberapa peluang tetapi gagal dilunaskan.

"Bagaimanapun, ia petanda yang positif kerana kami berjaya meledak tiga gol di tempat lawan. Jadi, kami akan kembali berlatih bagi memastikan perkara sama tidak berulang."

Sementara itu, pengendali Leicester, Craig Shakespeare enggan menjadikan insiden bola terkena tangan Mesut Ozil pada minit ke-83 yang membawa ke gol Aaron Ramsey sebagai alasan tewas.

"Saya kecewa dengan insiden itu tetapi sebaik pengadil memberikan sepakan sudut, kami perlu bertahan dengan lebih baik," katanya.

"Saya tidak tahu sama ada hilang fokus sebagai punca."

Shakespeare memuji Vardy dan bek tengah terbaru, Harry Maguire, yang menampilkan aksi ampuh di jentera pertahanan.

"Saya kagum dengan Maguire sejak dia menyertai kami. Saya mahukan pemain British dengan pengalaman dalam Liga Perdana Inggeris," tambah Shakespeare.

"Dia masih muda dan permainanya akan bertambah baik.

"Jamie Vardy kembali menemui sentuhan berbisa. Kami mahu dia menjadi ancaman buat pemain lawan.

"Kami tidak akan kecewa dengan kekalahan ini. Ini baru perlawanan pertama."

Advertisement

Must Watch Video