Skip to main content

Bola Sepak

Valverde buru muka baru

ernesto-valverde-cropped_1gt3i7vc67v511u9bg0tx9q803.jpg
Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, mahu mendapatkan beberapa muka baru sebelum jendela perpindahan pemain ditutup bagi membentuk pasukan yang lebih kompetitif.

Kelab Catalan itu melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas mengatasi Deportivo Alaves 2-0, dengan Lionel Messi menjadi penyumbang tunggal selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam babak pertama.

Kemenangan itu, yang turut menyaksikan pemain terbaru, Paulinho, membuat penampilan pada lewat permainan, menandakan minggu positif buat Barca selepas menandatangani Ousmane Dembele daripada Borussia Dortmund dengan pembelian GBP92 juta (RM505 juta).

Barcelona masih meneruskan pemburuan bagi mendapatkan perancang utama Liverpool, Philipe Coutinho, di samping turut menyatakan minat terhadap pemain sayap Chelsea, Willian, tatkala mereka mahu melabur GBP200 juta (RM1.1 bilion) yang diraih daripada penjualan Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG).

Meskipun baru sahaja melengkapkan pembelian Dembele, Valverde masih mahu mendapatkan seorang lagi pemain sebelum jendela perpindahan  ditutup.

"Kami mahukan skuad yang mantap sebaik jendela perpindahan ditutup pada 31 Ogos ini," dia bercakap kepada Barca TV.

"Kami mahukan skuad yang lebih kompetitif."

Alaves mempamerkan aksi bersemangat di Mendizorroza sebelum ketinggalan hasil gol pertama Messi sebelum bintang Argentina itu melengkapkan gol ke-351 dalam LaLiga.

Ia merupakan aksi meyakinkan daripada pemain berusia 30 tahun itu selepas timbul spekulasi dia enggan menandatangani kontrak baru yang telah dipersetujui bulan lalu.

Valverde berbangga dengan cara pemainnya bertarung untuk melakar kemenangan, lantas menafikan anak buahnya terkesan dengan kekalahan 5-1 kepada musuh tradisi, Real Madrid, dalam Supercopa de Espana minggu lalu.

"Perlawanan hari ini agak sukar kerana pihak lawan tidak memberikan ruang yang besar.

"Kami terpaksa bersabar. Cuaca juga agak panas tetapi kami berjaya mendapatkan keputusan yang baik.

"Leo berpeluang menghasilkan lebih gol  tetapi dia tidak bernasib baik kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti. Kami kini berada di tahap di mana Barca menjadi topik perbualan dan senario ini mampu memberi kesan terhadap pemain.

"Kami sudah melepasi beberapa saat sukar tetapi kami berjaya mengatasinya."

Advertisement

Must Watch Video