Skip to main content

Bola Sepak

UiTM tekad bina momentum musim lalu

zulkhairi-zulkeply.png
Pertahanan UiTM FC, Zulkhairi Zulkeply, tidak gentar dengan kemampuan bekas pasukannya, Pulau Pinang, yang sudah jauh berubah dengan kemampuan pemain musim ini menjelang ujian pertama kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Perdana, esok. 

Zulkhairi beraksi dengan negeri kelahirannya itu musim lalu sebelum mengambil keputusan kembali ke UiTM bagi menyambung pengajian peringkat sarjana muda sains sukan. 

Dia tidak menafikan Pulau Pinang berada di tahap lebih mantap ekoran kehadiran ramai pemain berpengalaman. 

Zulkhairi tidak bimbang kualiti individu yang dimiliki Pulau Pinang selain ingin fokus mencari kemenangan sulung untuk majikan barunya musim ini. 

"Pulau Pinang membuat banyak perubahan menerusi pemain yang dibawa masuk oleh Zainal Abidin Hassan. 

"Mereka mendapatkan khidmat ramai pemain berpengalaman dan lebih bagus daripada tahun lalu. 

"Pemain import mereka agak mengancam dan sukar dijangka. UiTM menyasarkan misi wajib menang dalam aksi pertama ini," katanya. 

Sementara itu, ketua jurulatih UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail, mengharapkan permulaan positif buat pasukan dan bersedia menurunkan pemain import, Dao Bakary, selepas mereka mengakhiri saingan musim lalu di tangga keenam. 

"Dengan pencapaian tahun lalu, UiTM bukan lagi pasukan belasahan. UiTM adalah pasukan kuda hitam. 

"Pemain UiTM akan terus mengekalkan kecemerlangan tahun lalu. 

"Kami bukan lagi pasukan kerdil dan kalau pasukan lawan beranggapan begitu, mereka tersilap," ujar pengendali itu. 
 

Advertisement

Must Watch Video