Skip to main content

Bola Sepak

UCL: Real buru kejuaraan hatrik

25817ronaldo.jpg
Juara bertahan, Real Madrid, bakal bertemu Borussia Dortmund dan Tottenham Hotspur dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) manakala juara lima kali, Barcelona, diundi bersama naib juara musim lalu, Juventus.

Skuad bimbingan Zinedine Zidane itu memburu gelaran hatrik selepas mencipta sejarah sebagai pasukan pertama mempertahankan trofi UCL yang dimenangi pada musim 2015-16. 

Pemegang rekod kejuaraan terbanyak 12 kali itu turut berdepan APOEL dari Cyprus dalam Kumpulan H dan Gareth Bale akan bertembung bekas pasukannya, Spurs, buat pertama kali sejak berhijrah ke Real pada  2013.

"Sebagai juara bertahan, semangat yang berbeza bakal dipamerkan oleh lawan kami. Ia bukan tugas yang mudah, Real perlu mempamerkan aksi terbaik bagi mencapai sasaran kami," kata jurucakap Real, Emilio Butragueno.

"Kami telah bertemu Dortmund dalam beberapa edisi sebelum ini, mereka adalah pasukan yang memiliki ancaman terhadap kami. Tottenham sudah mula mempamerkan kebolehan mereka selepas memberikan saingan dalam dua edisi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL)."

Sementara itu, penyerang Tottenham, Harry Kane, teruja serta bersemangat menghadapi saingan peringkat kumpulan bersama-sama juara bertahan itu.

"Real adalah pasukan terbaik ketika ini. Kami akan menilai kemampuan mereka sebelum bertemu mereka nanti," kata Kane.

Barcelona melakar kemenangan 3-1 ke atas Juventus dalam final 2015 tetapi kelab Sepanyol itu sedang mengharungi saat yang sukar ketika ini selepas penghijrahan Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG).

Olympiakos dan Sporting Lisbon turut mengisi slot dalam saingan Kumpulan D.

Pengendali Bayern Munich, Carlo Ancelotti, bakal kembali ke Parc des Princes dalam saingan Kumpulan B untuk berdepan PSG.

Chelsea akan bertemu finalis 2015-16, Atletico Madrid, dalam Kumpulan C, serta Roma dan Qarabag, kelab pertama dari Azerbaijan yang mara ke peringkat ini.

Jose Mourinho pula akan bertandang ke negara asalnya, Portugal, apabila Manchester United diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Benfica, CSKA Moscow dan Basel. Manchester City diundi dalam Kumpulan F yang turut dibarisi Shakhtar Donetsk, Napoli dan Feyenoord manakala Liverpool akan berdepan Spartak Moscow, Sevilla dan Maribor dalam Kumpulan E.

Juara Perancis, Monaco, yang mara ke separuh akhir musim lalu, disertai Porto, Besiktas dan pendatang baru, RB Leipzig, dalam Kumpulan G.

Perlawanan pembukaan akan berlangsung pada 12 dan 13 September ini.

Advertisement

Must Watch Video