Skip to main content

Bola Sepak

T-Team pikul tugas mencabar hadapi Melaka

110217-ramzul-t-team.jpg
Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, mengakui pasukannya perlu mempamerkan persembahan terbaik sekiranya berhajat mencuri mata dalam perlawanan Liga Super bertemu Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam ini.

“Melaka sebuah pasukan yang sangat baik kerana dibarisi pemain-pemain berkualiti, malah perlawanan ini merupakan aksi pertama mereka di gelanggang sendiri.

“Mereka sudah tentu dalam keadaan yang terbaik di depan penyokong sendiri dan kami perlu memberi fokus untuk mencuri mata di tempat lawan.

“Selepas mencatat kemenangan pertama minggu lalu, semangat pemain-pemain sedikit melonjak meskipun secara keseluruhan, corak permainan yang ditunjukkan masih belum pada tahap yang diinginkan.

“Pemain-pemain diingatkan agar tidak terikut-ikut dengan rentak pasukan lawan meskipun saya sedar ia bukan mudah kerana kadang-kadang apa yang dirancang gagal diterjemahkan,” kata Rahmad.

Harapan The Titans akan terus bersandar di bahu penyerang dari Uzbekistan, Farhod Tadjiev, yang masih belum mencetak sebarang gol musim ini dan perancang berusia 31 tahun, Mamadou Samassa.

“Dalam sesi latihan juga, saya mempersiapkan strategi untuk kami bermain sebagai satu pasukan selain meningkatkan persefahaman Farhod dan Samassa.

“Samassa adalah seorang pemain yang bijak, namun sebagai pemain dari Eropah, dia masih perlu menyesuaikan diri dengan gaya bola sepak tempatan dan cuaca di sini.

“Saya percaya gandingan Farhod dan Samassa akan bertambah baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video