Skip to main content

Bola Sepak

Tiket percuma aksi Perak menentang Kedah malam esok

perak-the-bos-gaurus-2019.jpg
Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) membuat kejutan dengan membenarkan penyokong memasuki Stadium Perak, Ipoh, secara percuma untuk menyaksikan skuad The Bos Gaurus berdepan Kedah dalam aksi Liga Super 2019, malam esok. 

Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata penyokong boleh mendapatkan tiket berkenaan di kaunter tiket stadium bermula jam 9 pagi esok. 

"Saya mengajak penyokong bola sepak Perak datang ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan dan kemasukan adalah percuma," katanya menerusi satu rakaman yang dimuat naik di Facebook hari ini. 

Dalam rakaman yang berdurasi 1.08 minit itu, Ahmad Faizal turut menyanyikan sebuah lagu untuk mengobarkan semangat pasukan itu.

Pertembungan di antara Perak dan Kedah yang bermula jam 9 malam esok merupakan perlawanan kedua Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan. 

Dalam aksi pertama Liga Super, Perak gagal mengutip mata penuh apabila tumpas 0-1 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin manakala Kedah membenam PKNP FC 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Lumut.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video