Skip to main content

Bola Sepak

Tidak mungkin Newcastle sudah selamat daripada penyingkiran, kata Benitez

rafael-benitez.jpg
NEWCASTLE UNITED 2 BURNLEY 0

Rafael Benitez memberikan amaran buat pasukannya, Newcastle United, bahawa mereka masih belum selamat untuk kekal berada dalam Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Burnley 2-0 di St. James' Park, awal pagi tadi.


Gol daripada Fabian Schar dan Sean Longstaff memastikan kemenangan Magpies yang kini berkelebihan tujuh mata daripada zon penyingkiran.

Andai pasukan di tangga ke-18, Southampton, menewaskan Fulham awal pagi esok, Newcastle masih berkelebihan enam mata daripada zon penyingkiran kerana Cardiff City tewas 0-3 di laman sendiri kepada Everton.

Bagaimanapun, Benitez tidak menganggap pasukannya sudah terselamat.

"Ia jelas, memenangi perlawanan akan menambahkan keyakinan anda, namun kami perlu sentiasa melakukannya dari perlawanan ke perlawanan.

"Kami berada di posisi ini kerana kami memberikan fokus kepada setiap perlawanan.

"Tugas ini masih belum selesai, ia tidak mungkin selesai.

"Kami perlu menghadapi setiap perlawanan dengan cara dan mentaliti yang sama.

"Pemain tahu tentang itu, begitu juga penyokong.

"Pemain kami layak mendapat pujian. Mereka melakukannya dengan amat baik.

"Mereka berjuang untuk satu sama lain dalam babak kedua. 

"Ia sememangnya kemenangan yang baik ke atas pasukan yang baik.

"Saya tidak berfikir tentang jumlah mata yang telah kami pungut.

"Saya mahu kami meneruskan aksi seperti ini kerana kami tahu kami mampu melakukannya.

"Kami ke Sepanyol dan berlatih bersungguh-sungguh di sana.

"Kami pulang ke sini dengan membawa situasi yang sama.

"Pemain berusaha keras dan melakukan perkara dengan betul.

"Mereka mahu menjadi kukuh sebagai satu pasukan dan menjadi ancaman buat pasukan lawan," katanya.

Benitez gembira dengan jaringan pertama Longstaff dalam saingan liga, yang tiba selepas Schar meledak jaringan permbukaan dari jarak 25 ela.

"Dia adalah pemain yang berlatih dengan kami dan berjaya beraksi baik. 

"Kami tahu peluang untuknya akan tiba dan dia bernasib baik kerana masalah kecederaan yang menimpa pasukan ini membuka peluangnya lebih awal. 

"Dia melakukannya dengan amat baik, jadi kami mengekalkannya dalam pasukan ini," katanya.

Pengurus Burnley, Sean Dyche, berasakan pasukannya gagal memberikan aksi terbaik seperti sebelum ini di mana mereka melewati lapan perlawanan liga tanpa kekalahan.

"Ia merupakan separuh masa pertama yang amat buruk, jauh lebih buruk berbanding apa yang kami pamerkan sebelum ini," katanya kepada BBC Sport.

"Saya tidak mahu terlalu mengkritik, kami hanya tidak memiliki semangat juang seperti sebelum ini.

"Pujian perlu diberikan kepada Newcastle, mereka bermain dengan amat baik.

"Walaupun tidak beraksi baik, kami masih memperoleh dua peluang keemasan," katanya.

Advertisement

Must Watch Video