Pengurus Chelsea, Antonio Conte, menafikan desas-desus bahawa Chelsea bakal menamatkan musim ini dengan dua kejuaraan domestik selepas mengatasi Wolverhampton 2-0 dalam aksi Piala FA, malam tadi.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu mengambil masa sejam sebelum meledak gol pembukaan di Molinuex menerusi Pedro sebelum Diego Costa menambah gol kedua sekaligs mengesahkan kemaraan Chelsea ke suku akhir.
Chelsea ketika ini mendahului liga dengan lapan mata dan mara ke suku akhir Piala FA termasuk wakil Liga Kebangsaan, Lincoln City namun Conte beri amaran bahawa anak buahnya tidak mampu untuk lalai.
Katanya:"Terlalu awal untuk bercakap tentang perkara ini. Kami sememangnya sedang bersaing dengan baik dalam dua kejohanan ini tetapi penting untuk kami sedar ia bukan mudah.
"Lebih sukar apabila penyokong menjangkakan kami untuk muncul juara liga dan Piala FA.
"Kami mahu meraih trofi kerana itulah sasarannya apabila berada di sebuah kelab yang bagus.
"Kami berada dalam landasan yang baik ketika ini tetapi kami perlu berkerja keras."
Pada masa sama, Conte mempertahankan keputusannya untuk menurunkan beberapa pemain yang bergelut untuk membarisi kesebelasan utama musim ini, antaranya Cesc Fabregas dan John Terry.
Selepas Burnley dikecewakan Lincoln City, COnte mengakui dia teruja dengan pasukannya turut berpeluang dikejutkan Wolves.
"Saya membuat tujuh perubahan, tetapi mereka bermain dengan baik," katanya.
"Sukar untuk beraksi apabila kamu jarang bermain tetapi Cesc dan pemain lain membuktikan mereka pemain profesional.
"Perlawanan ini satu cabaran dan setiap kali dalam bilik persalinan saya mengingatkan pemain bahawa tiada perlawanan yang mudah."