Skip to main content

Bola Sepak

Takut? Barcelona di puncak LaLiga -- Valverde

ernesto-valverde.jpg
Ernesto Valverde menolak cadangan Barcelona bimbang jika mereka akan dipintas Real Madrid dalam persaingan takhta LaLiga.

Real melonjak ke tangga kedua di belakang Barca selepas melakar kemenangan ke atas Atletico Madrid dalam aksi terdahulu, namun masih lagi ketinggalan enam mata.

Dua keputusan seri berturut-turut menyaksikan Barca membuka peluang kepada Real selepas skuad bimbingan Valverde itu sebelum ini berada di landasan yang selesa untuk mempertahankan kejuaraan.

Real memiliki kelebihan selepas ini, dengan dua aksi Clasico -- aksi timbal balik separuh akhir Copa del Rey dan pertembungan LaLiga di Santiago Bernabeu 2 Mac ini.

Kapten Real, Sergio Ramos, percaya Real mampu mengejar Barca dalam persaingan liga sementara penjaga gol, Thibaut Courtois, berasakan mana-mana pasukan akan gementar untuk berdepan Real yang berada di tahap terbaik buat masa ini.

Valverde, bagaimanapun, menjelaskan Barca mampu menjulang dua kejuaraan musim ini selepas seri 1-1 dalam aksi pertama Copa del Rey.

"Takut? Kami bersaing dengan pasukan yang sama untuk takhta liga," kata Valverde.

"Atletico Madrid, Real Madrid, Valencia dan Sevilla. Takut kerana berada di puncak liga? Tidak mungkin," katanya.

Valverde bersetuju menandatangani kontrak lanjutan setahun semalam, sekali gus menjawab spekulasi terhadap masa depannya bersama pasukan itu.

"Saya sentiasa memberitahu bahawa saya memiliki hubungan baik dengan kelab. Mereka sudah memberikan tawaran beberapa hari lalu dan saya perlu berfikir terlebih dahulu sebelum bersetuju.

"Kami berasakan sudah tiba masa untuk membuat pengumuman. Kami berkongsi pandangan yang sama, jadi ia adalah keputusan yang mudah bagi saya.

"Kepercayaan yang diberikan bermakna saya perlu berusaha memimpin pasukan ini untuk menjulang gelaran tetapi kami tahu betapa rumitnya bola sepak."

Advertisement

Must Watch Video