Skip to main content

Bola Sepak

Sukan SEA: Brunei, Laos perlu diambil serius -- Kim Swee

kim-swee.jpg
Pengendali skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee, enggan terlalu selesa dengan undian bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 meskipun dianggap kumpulan yang lebih mudah.

Malaysia diundi bersama-sama Myanmar selaku pemenang pingat perak Sukan SEA 2015 serta Singapura, Laos dan Brunei Darussalam dalam Kumpulan A.

Enggan hanya memberi tumpuan terhadap Singapura dan Myanmar, Kim Swee turut melihat Laos dan Brunei tidak terkecuali mampu memberi kejutan.

Bonus buat skuad negara apabila aksi persahabatan berdepan Myanmar 13 Julai ini bakal menjadi medan penilaian barisan pemain negara.

Selepas berputih mata dalam dua edisi terdahulu, Kim Swee optimis Malaysia berpeluang cerah untuk mara ke final kali ini.

"Semua perlawanan penting bukan sahaja Myanmar dan Singapura, bahkan selepas mengharungi empat edisi Sukan SEA, kita perlu mengambil serius semua perlawanan," jelasnya.

Dalam pada itu, Vietnam -- yang pernah membuat bantahan selepas Malaysia dikatakan cuba menggunakan hak istimewa sebagai tuan rumah dalam menentukan undian -- terpaksa akur apabila diundi dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan, Thailand.

"Sebenarnya, ini perkara biasa tetapi kami berpuas hati. Setiap pasukan akan bersaing sebaik mungkin, jadi kami perlu melakukan persiapan yang terbaik," ujar Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Vietnam, Le Hoai Anh.

Pada masa sama, pemerhati bola sepak tempatan, Rizal Hashim dan Hasnizam Uzir, berpendapat anak buah Kim Swee mendapat undian mudah, namun tidak menolak kemungkinan akan berdepan tekanan lebih tinggi susulan beraksi di laman sendiri.

"Sudah tentu apabila tidak diletakkan bersama-sama Thailand dan Vietnam, adalah satu kelegaan. Tetapi dalam pemburuan ibu segala pingat adalah satu tekanan apabila beraksi di laman sendiri. 

"Jadi, kita akan lihat apakah ada sentuhan magis dalam FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) di bawah kepimpinan baru untuk menghadirkan emas," ujar Rizal.

Turut senada, Hasnizam berasakan pemain negara berdepan laluan mudah, namun mengingatkan pemain agar memiliki kecekalan mental dan fizikal.

"Pemain perlu fokus dalam aspek fizikal dan mental di mana saya percaya pasukan lemah seperti Laos dan Brunei mampu mengganggu  rentak permainan kita."
 

Advertisement

Must Watch Video