Skip to main content

Bola Sepak

Suarez sempat khuatir perpindahan ke Barca terbatal

suarez_1.jpg
Luis Suarez sempat berasa bimbang mengenai perpindahannya dari Liverpool ke Barcelona yang mungkin tidak menjadi kenyataan selepas dia menggigit Giorgio Chiellini dalam Piala Dunia 2014.

Penyerang Uruguay, Suarez, digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama empat bulan, termasuk penggantungan sembilan perlawanan antarabangsa, setelah dia menggigit Chiellini dalam aksi peringkat kumpulan dengan Itali, yang menyaksikan wakil Amerika Selatan itu menang 1-0 untuk mara ke pusingan 16 sebelum mereka disingkirkan Colombia.

Ini adalah insiden ketiga Suarez membenam giginya ke atas pemain lawan berikutan pernah digantung kerana melakukan hal yang sama ketika bermain untuk Ajax dan Liverpool.

Bagaimanapun, ia tidak menyekat Barca daripada membayar £75 juta (RM409.4j) untuk membawanya ke Camp Nou. Sejak itu, dia telah memenangi LaLiga sebanyak dua kali, Copa del Rey tiga kali dan Liga Juara-Juara (UCL) dan Piala Dunia Kelab pada 2015.

Begitupun, Suarez sempat meragui perpindahannya ke Catalonia telah musnah akibat tindakannya dalam Piala Dunia di Brazil itu.

Dia pernah memberitahu rakan sepasukan Barca, Gerard Pique: "Selepas saya melakukannya, saya menyedari (akibatnya) dengan serta-merta. 

"Kami telah menjaringkan gol kami beberapa minit kemudian. Saya fikir 10 minit selepas itu menerusi (Diego) Godin, dan saya tidak meraikannya seperti kebiasaannya -- sepertimana pemain-pemain lain meraikannya -- kerana saya sudah memikirkan tentang akibatnya.

"Saya memasuki bilik persalinan dan perkara pertama yang saya lakukan adalah bercakap dengan isteri saya yang ada bersama anak-anak dan yang lain. 

"Lalu dia bertanya apa yang telah saya lakukan dan jelas sekali, saya sering tidak mahu menerima hakikat -- menafikan, menangis, dan semua itu -- dan ketika itu, semua orang sedang bergembira dan sedang memeriksan telefon bimbit mereka untuk mengikuti perkembangan semasa.

Ditanya apakah dia takut bahawa perpindahannya ke Barca tidak diteruskan, dia menjawab: "Ya, ya.

"Ia adalah segala-galanya -- selain memikirkan Piala Dunia, saya juga mahu memenuhi impian datang ke Barca -- semuanya berada di luar jangkauan saya.

"Dan saya memikirkannya berhari-hari selepas itu sebelum mereka menyingkirkan saya keluar daripada Piala Dunia.

"Ketika itu, saya bercakap dengan Zubi (Andoni Zubizarreta) dan presiden, lalu mereka memberitahu saya supaya tenang kerana Barca masih menginginkan saya. Saya tiada masalah untuk mendedahkannya bahawa saya menangis.

"Mereka masih menerima saya selepas apa yang yang saya lakukan, rumit untuk mempercayainya.

"Kebenarannya, Barca telah berlaku baik kepada saya dan saya akan sentiasa berterima kasih mengenainya," jelasnya.

Suarez menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-2 ke atas Real Sociedad pada Ahad lalu yang menyaksikan skuad bimbingan Ernesto Valverde itu bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menamatkan sumpahan di Anoeta selepas gagal menang dalam tujuh kunjungan LaLiga di sana sebelum ini.

Advertisement

Must Watch Video