Diego Simeone mengakui harapan Fernando Torres untuk ditawarkan pembaharuan kontrak bergantung kepada keputusan perlawanan selepas meledak dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Leganes.
Torres membuat penampilan kelima dalam kesebelasan utama Atletico ketika bertandang ke Leganes mengisi slot Kevin Gameiro.
Bekas penyerang Liverpool dan Chelsea itu membalas kepercayaan Simeone dengan aksi mantap apabila meledak gol pembukaan.
Dia kemudian meledak gol kedua hasil hantaran Angel Correa bagi meraih pujian Simeone.
Pengendali berusia 46 tahun itu, bagaimanapun, tidak memberi sebarang jaminan bahawa kontrak Torres yang berakhir hujung bulan Jun ini akan disambung.
"Itu bergantung kepada barisan jurulatih dan keputusan yang diraih pasukan ini," Simeone memberitahu wartawan.
"Dia telah melalui empat hari yang cukup baik, terutama apabila dia mempamerkan semangat juang tinggi.
"Meskipun jarang bermain, dia berlatih dengan tekun. Saya berharap dia mampu meneruskannya."