Skip to main content

Bola Sepak

Selangor tidak rela dihantui bekas import

p-maniam.jpg
Jurulatih Selangor, P. Maniam, menganggap dua bekas import Selangor yang kini bersama Kuala Lumpur, Guilherme de Paula dan Juninho de Sauza, sebagai gunting dalam lipatan menjelang aksi pertama Liga Super menentang Kuala Lumpur, 4 Februari nanti. 

Biarpun pertembungan di antara wakil Lembah Klang itu sudah lama tidak berlaku, Maniam tetap terasa bahang kehangatan pertemuan itu. 

Skuad Warga Kota itu membawa kredibiliti selaku juara Liga Perdana tahun lalu selain kehadiran pemain ternama dalam pasukan itu musim ini. 

Justeru, Maniam melihat kelibat dua bekas pemain import The Red Giants, De Paula dan De Sauza, sebagai berbahaya. 

"Kedua-duanya memberikan aksi luar biasa. 

"Mereka sentiasa mempamerkan aksi 200 peratus, sudah tentu kami perlu mengawasi dua pemain ini terutama Guilherme yang memiliki kemampuan rembatan deras dan licik dalam situasi satu lawan satu," ujarnya. 

Dalam sesi latihan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN) semalam, kelibat pemain skuad B-23 negara, Syahmi Safari, tidak kelihatan dan dia dijangka kembali berlatih bersama Selangor, hari ini. 

Kegagalan pemain itu merebut tempat kesebelasan utama skuad B-23 membuatkan Maniam gusar dengan kecergasan Syahmi dan membayangkan pemain itu bakal diberi tempoh untuk kembali mencari keserasian dalam permainannya. 

"Setiap pemain sudah memberikan komitmen 100 peratus dalam latihan, cuma mereka masih kekurangan kecergasan perlawanan. 

"Kami masih mempunyai beberapa perlawanan ujian lagi sebelum kempen sebenar. Dengan itu, dia akan diturunkan selepas ini," kata Maniam lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video