Skip to main content

Bola Sepak

Selangor tewas, Kelantan terus berduka

2817selangorsarawak.jpg
SELANGOR 1 SARAWAK 2
KELANTAN 2 MELAKA 3

Selangor ditimpa kekalahan pertama dalam kempen Piala Malaysia selepas tewas 2-1 kepada Sarawak dalam saingan Kumpulan D di Stadium Selayang, malam ini.
 
Sambil keputusan itu tidak menjejaskan kedudukan Selangor yang sudah pun layak ke suku akhir, Kelantan pula berdepan risiko tersingkir awal apabila tunduk 2-3 kepada Melaka United dalam perlawanan Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
 
Di sebalik kedudukannya di tangga kedua sudah terjamin, Selangor tetap memburu kemenangan untuk kembali menerajui kumpulan tatkala Sarawak sekadar melengkapkan jadual susulan sudah terkeluar daripada saingan.

The Red Giants tampil garang menerusi percubaan Syahmi Safari pada minit ke-13, namun berjaya dinafikan penjaga gol pasukan pelawat, Shahril Saari.

Usaha tuan rumah untuk meraih jaringan pendahuluan membuahkan hasil pada minit ke-37 apabila sepakan percuma Syahmi berjaya disudahkan Ugo Ukah, sekali gus memastikan kedudukan 1-0 sehingga tamat babak pertama.

Skuad Ngap Sayot mempamerkan kebangkitan dalam separuh masa kedua apabila menyamakan kedudukan menerusi Mateo Roskam pada minit ke-52.

Tuan rumah dibolosi buat kali kedua pada minit ke-64, berpunca daripada sepakan percuma Mohamad Alif Hassan yang terkena palang, disusuli kesilapan mudah pemain gantian, Amri Yahyah, yang dimanfaatkan sepenuhnya Milos Raickovic untuk Sarawak meraih kemenangan pertamanya.
 
Malang berterusan buat Kelantan yang gagal dalam misi wajib menangnya di hadapan penyokong sendiri hingga Melaka United mendahului selesa 3-0 dalam separuh masa pertama menerusi Jeon Woo-young (m-5, 30) dan Marco Simic (m-32).
 
Kebangkitan tuan rumah hanya terserlah dalam babak kedua tetapi jaringan Khairul Izuan Rosli (m-50) dan Mamadou Danso (m-86) tidak cukup untuk menafikan Melaka United pulang berhabuan tiga mata.
 
Keputusan itu menyaksikan Melaka United mengisi tangga kedua di belakang Kedah dalam Kumpulan C dan berpeluang cerah meneruskan kemaraan ketika saingan hanya berbaki satu perlawanan.




 

Advertisement

Must Watch Video