Selangor dan Pahang merekodkan kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Super selepas membawa pulang tiga mata dari laman lawan, malam ini.
Skuad kendalian P. Maniam meneruskan rentak kemenangan -- selepas berjaya mengatasi Felda United 3-1 minggu lalu -- dengan menundukkan Kelantan 2-0 di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV.
Selangor berada di depan seawal minit keempat menerusi bintang import, Juliano Mineiro, selepas percubaan awalnya ditepis penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Adam Nor Azlin berpeluang menambah jaringan buat The Red Giants pada minit ke-29 selepas menerima hantaran Victor Astafei tetapi percubaannya mudah ditepis keluar Khairul Fahmi.
Beberapa minit selepas itu berlaku sedikit perbalahan di antara pertahanan Selangor, Ugo Ukah dan import Kelantan, Mohammad Ghaddar, namun kedua-dua pemain terlepas dengan amaran.
Memasuki babak kedua, Kelantan mula memperkemaskan permainan dan beberapa kali menguji gawang Khairul Azhan Khalid tetapi tiada penyudah berjaya dihasilkan.
Sebaliknya, Selangor menyumbat gol kedua, sekali lagi menerusi Mineiro pada minit ke-60.
Penyerang berusia 31 tahun itu melakukan percubaan rendah di pinggir kotak penalti selepas menerima hantaran Adam.
Keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan, sekaligus menyaksikan Selangor melonjak ke tangga ketiga liga dengan 11 mata, tiga mata di belakang pendahulu, Kedah, yang melakar kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang.
Sementara itu, pertemuan di Stadium Hang Jebat menyaksikan Pahang mengecewakan pasukan tuan rumah dengan kemenangan 3-1.
Joseph Kalang Tie meletakkan Pahang di depan pada minit ke-21 selepas percubaan deras dari luar kotak penalti gagal diselamatkan Mohd Fazli Paat.
Ia merupakan gol kedua berturut-turut pemain kelahiran Sarawak itu selepas turut melakar nama selaku penjaring dalam kemenangan 6-1 ke atas Pulau Pinang, minggu lalu.
Memasuki minit ke-27, Melaka United berpeluang menyamakan kedudukan, namun rembatan Surendran gagal menepati sasaran selepas menerima hantaran kemas Amri Yahyah di dalam kotak penalti.
Pahang semakin selesa di depan menuju ke hujung babak pertama menerusi gol Matheus Alves.
Import Brazil itu melonjak tinggi untuk menanduk masuk selepas menerima hantaran lambung, Matthew Davies.
Memasuki babak kedua, pemain tengah, Mohamadou Sumareh menghadirkan senyuman berganda buat pasukan pelawat apabila meledak gol ketiga Pahang pada minit ke-57.
Menerima hantaran tinggi, Sumareh mengawal baik lantunan bola dan melepasi kawalan pemain tengah. Ahmad Ezrie Shafizie, sebelum menewaskan Fazli.
Tertekan, pengendali Melaka, Eric Williams, membawa masuk Sergio Aguero dan Fauzi Roslan bagi menyuntik ketajaman ke jentera serangan, namun kedua-dua pemain gagal menghadirkan impak diharapkan.
Ahmad Khuzaimie Piee berjaya merapatkan jurang dengan gol di hujung perlawanan tetapi sudah terlewat untuk mencetuskan kebangkitan buat Melaka United.
Kemenangan tersebut meletakkan Pahang di tangga kedua liga dengan 13 mata daripada enam perlawanan.
Keputusan lain:
JOHOR DARUL TA'ZIM 3-0 T-TEAM
FELDA UNITED 2-2 PERAK
PKNS FC 2-3 SARAWAK
KEDAH 3-1 PULAU PINANG
(Kredit foto: Laman Facebook Pahang FA)