Tiga mata yang diraih Selangor pastinya cukup bermakna tetapi skuad itu dijangka kehilangan penyerang, Francis Forkey Doe, akibat kecederaan serius dalam aksi Liga Super menentang Kelantan, malam tadi.
Selangor meraih kemenangan manis apabila menumpaskan tuan rumah 2-0 menerusi jaringan Juliano Mineiro Fernandes.
Bagaimanapun, Forkey Doe menganggap ia adalah kegembiraan dalam duka apabila mengalami kecederaan paha kanan yang memaksanya dikeluarkan seawal minit ke-20, sebelum digantikan oleh Adam Nor Azlin
Penyerang dari Liberia itu mungkin terpaksa direhatkan kira-kira 10 hingga 14 hari untuk kembali pulih sepenuhnya.
"Saya tidak berpuas hati kerana saya mengalami kecederaan pada awal perlawanan," katanya. "Setiap hari, kami perlu beraksi lebih baik untuk melakar kemenangan."
Jurulatih Selangor, P. Maniam, tidak menolak kemungkinan akan melakukan perubahan pemain bagi menggantikan posisi Forkey Doe demi memburu kemenangan dalam aksi seterusnya berdepan Kedah.
"Kami akan melihat keadaan Forkey Doe dalam perlawanan seterusnya dan mungkin akan ada perubahan terhadap posisi pemain itu.
"Tetapi kami akan melihat perkembangan Forkey Doe dalam tempoh dua atau tiga hari ini," katanya.
Gol seawal minit keempat oleh Juliano memberi tekanan buat skuad Kelantan, khususnya di barisan pertahanan, malah pemain yang sama sekali lagi meledak gol kedua pada separuh masa kedua.