Pengendali Paris Saint-Germain, Unai Emery, menegaskan setiap pemainnya memainkan watak penting selepas penyandang juara Ligue 1 itu mara ke pusingan 16 Coupe de France.
Rekrut terbaru, Julian Draxler, meledak dua gol ketika membantu PSG membelasah Rennes 4-0 di laman lawan semalam.
PSG ketiadaan khidmat Marco Verratti, Angel Di Maria dan Thomas Meunier ketika bertandang ke Roazhon Park ekoran kecederaan manakala kapten, Thiago Silva, dan penyerang, Edinson Cavani, direhatkan.
Bagaimanapun, Hatem Ben Arfa -- yang mengisi slot Cavani -- berjaya menyumbang satu gol tatkala pemain muda, Presnel Kimpembe dan Christopher Nkunku turut beraksi.
"Kami sudah mempelajari kesilapan pada awal musim. Ada ketika kami bergelut susulan gagal mengatasi masalah kecederaan pemain," Emery memberitahu Eurosport 2.
"Kami ada membincangkan pentingnya persaingan di antara pemain. Untuk itu, meskipun ketiadaan Veratti, Di Maria dan Meunier, kami perlukan pemain lain untuk meningkatkan prestasi mereka.
"Oleh kerana kami akan menempuh satu perlawanan setiap tiga hari, penting untuk pemain gantian menampilkan aksi baik.
"Ben Arfa menjaringkan gol, Areola memastikan gawang tidak bolos, Pastore kembali beraksi dengan baik manakala pemain muda, Kimpembe dan Nkunku, membuktikan mereka sudah bersedia."