Skip to main content

Bola Sepak

Saya mohon maaf kepada sesiapa yang baru sahaja kenali Benzema -- Solari

karim-benzema.jpg
Santiago Solari memuji aksi cemerlang yang dipamerkan Karim Benzema tetapi membidas mereka yang gagal menyedari sumbangan penyerang Real Madrid itu kepada kelab.

Benzema meledak dua gol ketika Real mengatasi Girona 3-1 dalam aksi timbal balik suku akhir Copa del Rey kelmarin, sekali gus merakamkan kemenangan agregat 7-3 untuk melangkah ke separuh akhir.

Bekas penyerang skuad Perancis itu telah mencetak lima gol dalam tiga penampilan untuk Real apabila mencapai keserasian dengan pemain sayap Brazil, Vinicius Junior.

Benzema sering dikritik sepanjang tempoh beraksi di Santiago Bernabeu tetapi jaringannya telah mendukung pasukan ketika Gareth Bale dan Marco Asensio dihimpit masalah kecedraan.

Solari berpandangan Benzema tidak dinilai dengan adil oleh penyokong Real ketika bercakap selepas mereka melangkah ke separuh akhir Copa del Rey.

"Saya memohon maaf kepada sesiapa yang baru sahaja mengenali Benzema minggu lalu," kata Solari.

"Buat masa ini, Benzema berada di tahap terbaik."

Bale dan Asensio hadir ke dalam perlawanan sebagai pemain gantian tetapi Solari enggan mengambil risiko menurunkan mereka dalam kesebelasan utama.

"Pemain yang baru kembali beraksi selepas mengalami kecederaan perlu mendapatkan rentak.

"Kami akan terus berusaha bersaing dalam setiap kejohanan yang masih disertai kerana Real memerlukan gelaran dalam setiap musim," tambahnya.

Real mungkin berdepan Barcelona dalam separuh akhir sementara Real Betis dan Valencia mungkin menjadi lawan mereka seterusnya.

"Undian masih belum dilakukan. Kami perlu sentiasa bersedia menghadapi mana-mana pasukan dan berusaha untuk melakar kemenangan."
 

Advertisement

Must Watch Video