LALIGA
Saya miliki otot, bukan lemak -- Jese jawab persoalan fizikal
Jese Rodriguez menafikan dakwaan terhadap berat badannya apabila dipersembahkan oleh Real Betis semalam.
Bekas pemain Real Madrid, Jese, menyertai Betis secara pinjaman minggu lalu sehingga akhir musim selepas hanya melakukan satu penampilan buat Paris Saint-Germain (PSG) musim ini.
Pemain berusia 25 tahun itu menafikan persoalan mengenai tubuhnya akibat kekurangan tempoh beraksi selepas tidak tampil dalam perlawanan kompetitif senior sejak Mac lalu sewaktu dipinjamkan ke Stoke City.
Iklan
"Saya baik-baik sahaja. Saya telah berlatih sejak memulakan kempen bersama PSG," kata Jese.
"Ramai orang menegur berat badan saya. Saya mengalami kecederaan lutut dan perlu menguatkan kekuatan kaki. Saya miliki otot, bukan lemak."
Jese berada di bangku simpanan ketika Betis menewaskan Atletico Madrid 1-0, Ahad lalu, dan dia sedar keraguan terhadapnya sejak tiba di kelab itu.
"Saya gembira dapat berada di kelab seperti Betis. Ia satu cabaran buat saya. Apa yang saya fikirkan adalah mahu bermain dan jaringan akan tiba," tambahnya.
"Saya akan berikan segalanya untuk membuktikan kemampuan sewaktu sesi latihan dan meyakinkan jurulatih saya bersedia beraksi.
"Keraguan orang ramai terhadap saya adalah sesuatu yang normal tetapi mereka tidak boleh risau dengan komitmen saya.
"Saya akan memberikan segalanya untuk membantu pasukan dan melakukan perkara yang terbaik."
Mengenai kemungkinan pinjaman itu dikekalkan secara tetap, dia menambah: "Anda perlu lihat apa yang kelab mahukan terlebih dahulu kerana mereka mungkin tidak mahukan saya.
"Di penghujung musim nanti, lihat apa yang berlaku. Saya milik PSG dan berharap segalanya berjalan lancar.
"Jika kelab mahukan saya, kami akan berbincang akhir musim nanti."
Must-Watch Video