Skip to main content

Bola Sepak

Saul ikrar bantu Atletico julang trofi

saul.jpg
Bintang Atletico Madrid, Saul Niguez, bangga menjadi subjek yang diminati Barcelona, namun tetap ingin memenangi trofi di Wanda Metropolitano.

Ketua Pegawai Eksekutif Atleti, Miguel Angel Gil Marin, bulan lalu mendakwa dia menerima panggilan daripada skuad Catalan itu tentang Saul, begitupun seteru LaLiga itu menarik diri sebaik mengetuai klausa penebusan kontrak pemain itu bernilai €150 juta (RM727.2j). 

Pemain berusia 23 tahun itu menjelaskan ia adalah satu galakan sebaik mengetahui kelab-kelab lain sedang memantaunya tetapi menegaskan dia sedia melanjutkan kontrak yang dimeterainya Julai lalu dengan harapan untuk menikmati kejayaan di ibu negara.

"Ia sentiasa positif bahawa pasukan lain menunjukkan minat terhadap anda," katanya kepada AS ketika ditanya mengenai minat Barca itu. "Bagaimanapun, saya mahu melakukan perkara yang hebat di Atletico dan itulah alasan pembaharuan kontrak saya.

"Saya mahu terus kekal di sini dan itulah sebabnya ia dilakukan, ia sangat mudah. ​​Ideanya ialah untuk berkembang bersama Atletico.

"Apabila saya kelihatan seperti memerlukan perubahan, maka kami boleh membincangkannya tetapi saya mahu menjulang Atletico dan matlamat saya adalah untuk bersaing sehingga penantian trofi dengan Atletico Madrid berakhir," katanya.

Atletico memulakan 2018 di tangga kedua dalam LaLiga, sembilan mata di belakang pendahulu, Barca, dan perlawanan pertama mereka tahun ini membabitkan pertembungan Copa del Rey dengan Lleida, awal pagi esok. 

Mereka juga meneruskan kempen Eropah dalam saingan Liga Europa setelah menduduki tangga ketiga kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) di belakang Chelsea dan AS Roma.

Walaupun mengakui kecewa tersingkir daripada UCL, Saul berkata Atleti akan memberikan segala-galanya dalam kejohanan yang dimenangi mereka itu pada 2010 dan 2012.

"Cabarannya adalah untuk bersaing dalam LaLiga, Copa del Rey dan berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap pertandingan, termasuk berjuang dalam Liga Europa," katanya.

"Kami tidak berniat untuk memburu gelaran ini pada mulanya, namun kami kini tidak sabar untuk mara sejauh mungkin."

Dalam perkembangan berasingan, jurulatih, Diego Simeone, tidak gembira apabila Luciano Vietto memutuskan untuk angkat kaki. 

Penyerang itu telah dikaitkan dengan Sporting CP dan Valencia setelah gagal menjaringkan gol dalam LaLiga.

"Saya berharap dia membuat langkah terbaik dan menyertai pasukan yang kompetitif.

"Pemergiannya mengganggu saya kerana persembahannya tidak disertai dengan jaringan bersama sebuah pasukan yang terburu-buru.

"Dia pernah menjadi pemain terbaik kami, saya sukakannya sebagai pemain dan dia adalah pemain bola sepak yang hebat.

"Malangnya, dia tidak dapat menambah gol dalam permainannya," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video