Skip to main content

Bola Sepak

Santiago Bernabeu tidak boleh jadi medan final Copa del Rey

copa-del-rey-final-can-t-be-held-at-bernabeu-say-real-madrid.jpg
Perlawanan akhir Copa del Rey tidak boleh dilangsungkan di Santiago Bernabeu ekoran kerja-kerja pembinaan yang akan dijalankan, demikian kata Presiden Real Madrid, Florentino Perez.

Perbalahan mengenai penganjuran perlawanan akhir itu adalah isu biasa dalam bola sepak Sepanyol sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama apabila melibatkan Madrid atau Barcelona. 

Barcelona dinobatkan sebagai juara musim lalu hasil kemenangan 2-0 ke atas Sevilla di Vicente Calderon, susulan konflik penganjuran yang bertembung dengan tarikh konsert Bruce Springsteen di Bernabeu. 

Dengan Barca bakal berdepan Alaves bagi mempertahankan kejuaraan mereka musim ini, Bernabeu sekali lagi menjadi venue berpotensi di samping Calderon dan gelanggang bagi Athletic Bilbao, San Mames, tetapi sekali lagi usaha itu terjejas,. 

Perez menegaskan venue Madrid tidak dapat digunakan kerana kerja-kerja pembinaan. 

"Perlawanan akhir Copa tidak boleh diadakan di Bernabeu kerana kerja-kerja yang akan dijalankan," ujarnya. 

"Tiada isu lain lagi."

Barca dilaporkan memilih Bernabeu, dengan Catalan Daily Sport mendakwa juara bertahan itu telah meminta Alaves untuk menyokong pemilihan venue tersebut. 

Sementara itu, pemilik Alaves, Josean Querejeta, berkata kelab Basque itu mahu final Copa del Rey dilangsungkan di San Mames bagi tujuan memudahkan penyokong tempatan untuk hadir.

"Stadium itu sempurna buat peminat kami," katanya kepada Cadena Ser. 

"Ia stadium paling dekat untuk peminat kami dan lebih ramai yang boleh menghadirinya. Ia sebuah stadium yang moden dan menjadi mercu tanda negara Basque. 

"Kapasiti Calderon dan San Mames hampir sama tapi San Mames lebih moden dan terletak paling berhampiran dengan kami. 

"Saya percaya, penyokong Athletic juga teruja apabila sebuah pasukan Basque akan beraksi di San Mames. Saya tidak fikir Athletic akan mempunyai masalah untuk menganjurkannya."
 

Advertisement

Must Watch Video