SABAH 2 MISC-MIFA 1
Sabri Sahar muncul wira Sabah apabila meledak dua gol bagi membantu pasukannya menang 2-1 ke atas MISC-MIFA dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.
Pemain tengah itu meledak gol pertama pada minit ke-15 menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang terbias pertahanan lawan sebelum menerjah jaring.
Pasukan pelawat kemudian hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-21 menerusi cubaan Bodric Dimitri Tagne Fogueing, namun berjaya diselamatkan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.
Sabri kemudian sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring apabila sepakan percumanya dari luar kotak penalti pada minit ke-27 terus menewaskan penjaga gol MISC-MIFA, Zulfadhli Mohamed, bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Pada minit ke-29, Sabah hampir menambah jaringan tetapi tandukan penyerang import, Rodoljub Paunovic, sekadar singgah di bahagian tepi pintu gol lawan dan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, MISC-MIFA berjaya merapatkan jurang menerusi tandukan Kpah Sean Sherman pada minit ke-55 bagi menjadikan kedudukan 2-1.
Gol itu diperolehi hasil hantaran sepakan percuma Mohd Redzuan Nawi dari kawasan sebelah kiri kotak penalti.
Bagaimanapun, pasukan pelawat terpaksa bermain dengan 10 orang pada minit ke-76 selepas Redzuan dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil.
Tuan rumah bagaimanapun gagal menggunakan kelebihan itu apabila gagal menghasilkan gol walaupun beberapa kali mencemaskan kubu MISC-MIFA.
Kedudukan 2-1 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan, Hasman Hissam Ansgari, meniupkan wisel penamat.
KEPUTUSAN LAIN:
ATM 0 PKNP FC 4
PERLIS 3 PDRM 1
JDT II 1 UiTM FC 0
KUALA LUMPUR 1 TERENGGANU 2
NEGERI SEMBILAN 3 KUANTAN FA 0