Skip to main content

Bola Sepak

Sabah turut terbangkan pemain muda ke Perlis

020217-sabah-training.jpg
Tiga pemain skuad Piala Presiden adalah antara yang diterbangkan pasukan Sabah bagi menghadapi Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, esok.

Pemain berkenaan ialah Hamran Peter, Oneil Shanahan Marcellinus Bungkilan dan Muhammad Zaki Ruslih.

Keputusan itu dipercayai dibuat pengurus pasukan, Adlane Messelem, susulan tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini, termasuk kepada pasukan Piala Presiden Sabah dalam aksi persahabatan, baru-baru ini.

"Untuk perlawanan seterusnya (bertemu Perlis), kami akan melakukan beberapa perubahan kerana sebelum ini kami mengatakan akan memberi peluang kepada pemain daripada skuad bawah 21 dan bawah 19 tahun yang menunjukkan kesungguhan.
  
"Kami akan membawa tiga atau empat pemain (dari skuad Piala Presiden) dan mungkin beberapa lagi di masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Likas, semalam.
  
Messelem berkata walaupun menyenaraikan beberapa pemain muda dalam rombongan mereka ke Perlis, ia tidak bermakna pemain yang dimaksudkan akan bermain dalam kesebelasan utama.
  
"Saya mahu pemain muda kami bersedia lebih awal untuk beraksi di pentas yang lebih tinggi kerana apa yang saya lihat di sini, kebanyakan pemain berkenaan tidak diberi pendedahan awal."
 
Dalam perkembangan lain, bekas penyerang skuad muda Perancis, Sofiane Choubani, turut disenaraikan dalam kunjungan Sang Badak ke Perlis.

Sebelum ini, pemain berusia 26 tahun itu terlepas dua aksi awal Sabah dalam saingan Liga Perdana akibat kecederaan jari kakinya.

Bagaimanapun, belum disahkan sama ada Choubani akan diturunkan dalam perlawanan malam esok.
 

Advertisement

Must Watch Video