Skip to main content

Bola Sepak

Sabah mungkin panggil semula Paunovic

rodoljub-paunovic.jpg
Sabah berkemungkinan akan memanggil semula bekas penyerang import mereka musim lalu, Rodoljub Paunovic, bagi memperkuatkan bahagian serangan pasukan itu, musim ini.

Pengendalinya, Jelius Ating, berkata ia adalah pilihan terakhir sekiranya tiada pemain import lain yang dilihat mampu menggalas tugas sebagai penyerang.

"Memang ada beberapa pemain import hadir menjalani sesi ujian pemilihan, namun saya belum nampak ada antara mereka yang benar-benar layak," katanya ketika dihubungi, semalam.

Paunovic yang berasal dari Serbia menyertai Sang Badak pada pertengahan musim lalu dan telah meledak sembilan gol.

Sabah telah mengisi tiga daripada empat slot pemain import selepas mengekalkan dua pemain dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong. 

Selain itu, pertahanan dari Croatia, Igor Cerina, juga telah kembali ke pangkuan pasukan itu selepas berehat panjang musim lalu akibat kecederaan dengan pemain berkenaan masih memiliki baki kontrak sehingga tamat musim ini.

Dalam perkembangan lain, Sang Badak akan ke Keningau untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan sebagai pemanas badan.

"Kami juga akan mengambil peluang dalam dua aksi itu untuk menilai sejauh mana peningkatan pemain setakat ini di samping mencuba pemain yang baru diserapkan dalam skuad senior," katanya.

Sabah akan bertemu skuad Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Keningau malam esok dan selepas itu menentang Baracuda FC pada petang keesokan harinya.

Dua perlawanan itu dijangka berlangsung di Kompleks Sukan Keningau.

Advertisement

Must Watch Video