Skip to main content

Bola Sepak

Ronaldo menang tiga gelaran UCL, bukan lima –- presiden Atletico tempelak Ronaldo

cristiano-ronaldo.jpg
Keberanian Cristiano Ronaldo yang melaungkan bahawa dia telah mengecapi lima gelaran Liga Juara-Juara (UCL) berbanding Atletico Madrid yang langsung tidak pernah memenanginya mengundang perhatian Presiden Atleti, Enrique Cerezo.

Kekalahan 0-2 Juventus di tangan Atletico dalam pertemuan pertama pusingan 16 mendorong bekas bintang Real Madrid berkenaan berbangga untuk mengungkit kejayaan yang telah diukirnya dalam kejohanan itu.

Selepas gol Diego Godin dan Jose Gimenez memberikan kelebihan 2-0 kepada tuan rumah dalam aksi di Wanda Metropolitano itu semalam, Ronaldo membuat isyarat tangan ketika melalui zon campuran.  

"Saya telah memenangi lima kejuaraan UCL manakala mereka (Atletico) tidak pernah," katanya kepada pemberita.

Ronaldo mengecewakan Atletico dalam edisi 2014 dan 2016, dengan Los Blancos memenangi gelaran tersebut dalam masa tambahan dan penentuan penalti.

Begitupun, Cerezo menganggap kemenangan Madrid ke atas Atletico dalam kedua-dua final itu tidak harus dikira dalam koleksi kejuaraan Ronaldo.

"Bagi saya, Cristiano tidak memenangi lima gelaran UCL," kata presiden Atletico itu kepada radio Itali, Radio CRC.

"Dia mempunyai tiga kejuaraan dan alasannya sangat mudah: Dalam kedua-dua pertemuan dengan Atletico Madrid, dia tidak memenanginya."

Cerezo, yang dilaporkan meninggalkan tempat duduknya dalam kemenangan semalam sebaik keputusan video bantuan pengadil (VAR) tidak memihak Atletico, enggan menceritakan tentang Ronaldo secara panjang lebar.

"Siapakah yang telah memenanginya untuk mereka? Kita akan membincangkannya dalam wawancara seterusnya," tambahnya.

Cerezo juga mengulas mengenai gaya Diego Simeone meraikan jaringan sebelum pengurus Atletico tersebut meminta maaf atas isyarat yang diberikan dengan mendakwa: "Ia membuktikan kami memiliki keberanian. 

"Ia adalah detik gembira," kata Cerezo. "Saya faham reaksi Cholo [Simeone]. Dia bukannya mengejek Juventus, tindakannya itu sebaliknya merujuk kepada peminat kami."





 

Advertisement

Must Watch Video