Skip to main content

Bola Sepak

Ronaldo digantung lima perlawanan

cristiano-ronaldo-150817.jpg
Cristiano Ronaldo digantung lima perlawanan susulan insiden dibuang padang dan menolak pengadil ketika Real Madrid mengalahkan Barcelona 3-1 dalam pertemuan pertama Supercopa de Espana, pagi semalam. 

Bintang Portugal itu tampil hebat ketika masuk sebagai pemain gantian di Camp Nou apabila rembatan derasnya menghasilkan satu gol sebelum mengutip kad kuning kerana tindakannya menanggalkan jersi ketika meraikan gol itu. 

Dua minit kemudian, dia terjatuh di dalam kontak penalti sehingga dilayangkan kad kuning kedua kerana didakwa sengaja merebahkan badan, namun Ronaldo membenarkan kemarahan menguasainya apabila menolak pengadil, Ricardo de Burgos, sejurus selepas itu

Ketua pasukan Portugal berusia 32 tahun itu berdepan penggantungan maksimum sebanyak 12 perlawanan, namun Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) memilih untuk mengenakan hukuman lima perlawanan. 

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh badan induk itu malam tadi, hukuman satu perlawanan dikenakan kerana kad merah dan empat lagi adalah disebabkan kelakukannya terhadap De Burgos. 

RFEF turut mendenda Ronaldo €3,850 (RM19,483) dan kelabnya €1,750 (RM8,856). 

Ronaldo dan Madrid mempunyai tempoh 10 hari untuk mengemukakan rayuan. 

Andai penggantungan itu kekal, dia akan terlepas aksi kedua Supercopa selain pertemuan LaLiga dengan Deportivo La Coruna di tempat lawan, Valencia dan Levante (Santiago Bernabeu) serta kunjungan ke Real Sociedead. 

Insiden kad merah dalam penampilan singkat aksi Supercopa itu mencetuskan sensasi tatkala Ronaldo kini masih disiasat oleh pihak berkuasa Sepanyol susulan kes penipuan cukai. 


 

Advertisement

Must Watch Video