Skip to main content

Bola Sepak

Roma tolak tawaran awal The Blues

edin-dzeko_1.jpg
AS Roma menolak tawaran Chelsea yang berhajat memancing Edin Dzeko, namun bersedia mengadakan perbincangan lanjut mengenai masa depan penggempur itu. 

Semalam, Pengarah Sukan, Monchi, mengesahkan pendirian Giallorossi berikutan usaha daripada juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu. 

Chelsea dikaitkan dengan perpindahan duo jaguh Serie A itu, Dzeko dan Emerson Palmieri, dalam usaha Antonio Conte mengukuhkan pilihan pemainnya. 

Begitupun, mereka perlu meningkatkan tawaran sekiranya berhajat memburu khidmat Dzeko yang mencecah usia 31 tahun di Stadio Olimpico.

"Setiap kelab di dunia akan sekurang-kurangnya mempertimbangkan sebarang tawaran yang masuk," kata Monchi kepada Mediaset Premium.

"Kami bersedia untuk mendengar, kemudian kami akan membuat keputusan.

"Buat masa ini, Dzeko berada di sini dan kami semua gembira. Ini juga bermakna bahawa tawaran yang kami terima setakat ini tidak memenuhi tuntutan kami," ujarnya.

Biarpun penilaian Roma terhadap Dzeko belum dipenuhi, Monchi tidak menolak kemungkinan untuk memuktamadkan rundingan itu. 

"Saya tidak tahu apa syarat peribadi yang ditawarkan kepada pemain kerana saya bukan ejennya," katanya.

"Saya bercakap mengenai Roma. Tawaran itu tiba, kami menelitinya dan membuat keputusan.

"Seorang pengarah sukan mesti melihat kepada aspek ekonomi dan sukan, itulah peranannya. Saya seorang pengarah, saya harus mempertimbangkan kedua-duanya. Jika tidak, esok saya akan menandatangani Lionel Messi."

Dzeko akan diturunkan ketika menentang Sampdoria awal pagi esok manakala Emerson akan diletakkan di bangku simpanan.

 

Advertisement

Must Watch Video